Tabung Haji perkasa perkhidmatan melalui cawangan bergerak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bakal menyambut ulang tahun ke-59 pada 30 September ini, Lembaga Tabung Haji (TH) nyata tidak berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini apabila terus menggiatkan usaha membantu umat Islam Malaysia menabung bagi merealisasikan Rukun Islam kelima - menunaikan haji.

Bagi mengukuhkan kedudukannya selaku sebuah institusi pengurusan dana Islam yang "dekat” dengan masyarakat, ia melancarkan Cawangan Bergerak TH yang bukan sahaja memudahkan pendeposit sedia ada berurusan, tetapi juga untuk menarik pendeposit baharu.

Mempunyai kira-kira sembilan juta pendeposit dengan 123 cawangan statik setakat ini, TH dengan visi "Tonggak Kejayaan Ekonomi Ummah: Pengurusan Haji Terbilang”, menyasarkan peningkatan pendeposit baharu sekurang-kurangnya lima peratus dalam tempoh tiga tahun hingga 2024, disokong oleh pelancaran cawangan bergerak itu yang mula beroperasi pada Jun lepas.

CAWANGAN BERGERAK TH

Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, perkhidmatan Cawangan Bergerak TH itu dilancarkan bagi mendekati ummah secara langsung berikutan 55 peratus umat Islam di negara ini didapati belum mempunyai akaun deposit TH.

Jelasnya, inisiatif itu melibatkan pegawai TH daripada lapan masing-masing Pusat Perkhidmatan TH (PPTH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) serta meliputi semua kawasan di Johor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah, Terengganu, Melaka dan Sabah.

"Cawangan Bergerak TH atau nama lainnya pasukan pemasaran luar akan menyediakan perkhidmatan di sekitar daerah yang dikenal pasti bagi memudahkan para pendeposit mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan TH di lokasi dan masa yang ditetapkan.

"Apa yang mahu TH ketengahkan sekarang adalah konsep ‘mobile’, mahu lari daripada stigma hanya duduk sahaja menunggu pelanggan datang. Statistik kami juga mendapati transaksi di PPTH terlalu rendah manakala lokasi UTC pula terlalu hampir dengan cawangan TH negeri,” katanya ketika ditemui di Menara Tabung Haji, di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara perkhidmatan yang disediakan di Cawangan Bergerak TH ialah pembukaan akaun baharu, pembukaan akaun secara maya, kemas kini profil, urusan dan pendaftaran haji, pengaktifan THiJARI, penamaan waris, pertukaran status akaun kanak-kanak kepada dewasa, simpanan, pengaktifan akaun serta cetakan penyata.

ASPIRASI HIJRAH24

Objektif utama TH ialah membantu umat Islam di negara ini mengerjakan ibadat haji, justeru sewajarnya setiap daripada mereka memanfaatkan institusi itu.

Namun kata Mohamed Ameen, setakat ini hanya 45 peratus umat Islam di negara ini mempunyai akaun bersama TH.

Sehubungan itu katanya, TH melancarkan Pelan Transformasi Strategik TH 2022-2024 atau HIJRAH24 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 April lepas, yang antara lain bertujuan meningkatkan pendeposit kepada 50 peratus.

"Adalah menjadi harapan saya untuk membawa TH ke tahap lebih tinggi dan matlamat HIJRAH24 adalah untuk sekurang-kurangnya 50 peratus umat Islam negara menjadi pendeposit TH menjelang 2024.

"Oleh itu, TH perlu mencapai peningkatan pendeposit sekurang-kurangnya lima peratus dalam masa tiga tahun ini. Kalau kami duduk di cawangan sahaja tak jadi kerja. TH perlu menggiatkan usaha pergi ke tempat mereka (pendeposit) sendiri dengan Cawangan Bergerak TH,” tegasnya.

Menurutnya, inisiatif itu telah mencatatkan pembukaan 5,835 akaun baharu sejak dilancarkan pada 7 Jun lepas.

"Ia terbukti memberikan peluang kepada lebih ramai orang Islam untuk menikmati perkhidmatan yang disediakan TH dengan adanya cawangan bergerak ini,” katanya yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perbankan.

KEMUDAHAN LENGKAP

Seorang pendeposit, Ghazizani Abd Ghani, 47, yang ditemui Bernama ketika berurusan di Cawangan Bergerak TH yang beroperasi di Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban, Negeri Sembilan, mengakui kewujudan cawangan bergerak memudahkannya menyelesaikan pelbagai urusan TH.

Katanya, antara kelebihan penempatan cawangan bergerak itu di kawasan masjid tersebut ialah kawasan tempat letak kenderaan yang luas, kemudahan yang lengkap selain menyediakan peluang yang tidak terhad kepada orang ramai untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan TH.

"Saya tinggal di Taman Panchor Jaya, iaitu kira-kira dua kilometer sahaja dari masjid ini. Tak perlu berebut tempat letak kereta, berbanding kalau ke UTC yang terletak kira-kira lapan km dari rumah.

"Kita juga boleh bertanya banyak tentang haji, dan sebagai pendeposit, saya rasa ini lebih mesra pelanggan berbanding berurusan di cawangan di UTC yang kadang-kadang perlu tergesa-gesa,” ulas wanita itu.

Menurut ibu kepada lima anak itu, dia juga mengambil peluang membuka akaun baharu untuk dua anak perempuannya yang masing-masing berusia 12 dan 14 tahun.

"Hanya RM10 masing-masing untuk buka akaun buat mereka,” tambahnya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa masjid berkenaan Muhammad Fadillah Zulkafli, 51, beliau melihat inisiatif itu sebagai berita gembira bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk ke cawangan statik atau UTC.

"Saya berhajat buka akaun TH untuk dua lagi anak saya namun tidak ada masa untuk berbuat demikian. Apabila dengar tentang cawangan bergerak ini saya terus ambil peluang buka akaun untuk anak yang berusia 12 dan 14 tahun. Dua abang mereka sudah pun ada akaun dengan TH dan saya manfaatkan untuk tambah simpanan mereka,” jelasnya yang turut melihat inisiatif itu sebagai usaha mengimarahkan masjid.

PENDEPOSIT BERTAMBAH

Eksekutif Kewangan UTC Seremban, Nur Haziqah Hashim berkata, secara purata, 35 hingga 40 pendeposit, sama ada yang baharu atau sedia ada, datang ke Masjid Kariah Taman Paroi Jaya untuk berurusan di Cawangan Bergerak TH.

"Dalam sehari, sebanyak 60 hingga 70 transaksi antaranya kemas kini profil, menyimpan duit dan membuka akaun telah dilakukan pendeposit,” katanya sambil menjelaskan empat petugas ditempatkan di cawangan bergerak, iaitu seorang penyelia, dua juruwang dan seorang polis bantuan.

Beliau berkata, setakat ini, sambutan terhadap Cawangan Bergerak TH amat menggalakkan dan berpendapat ia adalah satu alternatif terbaik yang akan berkembang dan mendapat tempat di hati para pendeposit.

Lazimnya pendeposit hadir di cawangan untuk berurusan, kini TH pula menyantuni pendeposit di kawasan mereka sendiri, ujarnya. - Bernama