JPS digesa percepat naik taraf benteng pemecah ombak

Noh (tiga dari kanan) ketika melakukan tinjauan di Pantai Sungai Kajang pada Selasa.
Noh (tiga dari kanan) ketika melakukan tinjauan di Pantai Sungai Kajang pada Selasa.
A
A
A

TANJONG KARANG - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa mempercepatkan projek menaik taraf benteng pemecah ombak di Pantai Sungai Kajang di sini bagi menangani ancaman fenomena air pasang besar dan musim tengkujuh penghujung tahun ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, kerja-kerja penyelenggaraan itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan kejadian banjir di kawasan berhampiran dan seluruh kawasan Tanjong Karang.

"Saya bimbang jika projek ini lewat dilaksanakan, kawasan rendah di Kampung Sungai Kajang dan berhampirannya boleh tenggelam.

"Kita pernah ada sejarah kawasan laluan utama di Pekan Tanjong Karang dilanda banjir besar akibat pertembungan air laut yang melimpah ke darat," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pantai Sungai Kajang pada Selasa.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukan bagi kerja menaik taraf kawasan pesisir Sungai Kajang, Bagan Sungai Kajang dan Sungai Janggut.

"Saya difahamkan peruntukan sudah ada cuma masih tiada kerja-kerja pelaksanaan dilakukan setakat ini," jelas beliau.

Selain itu, beliau memberitahu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi memperindah dan menaik taraf kawasan tumpuan pelancongan tersebut.

Tambahnya, kelulusan peruntukan sudah ada, namun masih menunggu proses kebenaran pembangunan daripada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk projek menaik taraf di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kita harap Jabatan Perhutanan Selangor dapat membuat keputusan bagi membolehkan kerja menaik taraf dapat dilaksanakan segera," ujar Noh.