MAFI mohon peruntukan tambahan tabung bencana padi

Ahmad (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada penerima ikon padi pada Seminar Peningkatan Hasil Padi IADA Barat Laut Selangor di IPP Tanjong Karang pada Selasa.
Ahmad (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada penerima ikon padi pada Seminar Peningkatan Hasil Padi IADA Barat Laut Selangor di IPP Tanjong Karang pada Selasa.
A
A
A
TANJONG KARANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memohon peruntukan tambahan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) daripada Kementerian Kewangan bagi menghadapi musim tengkujuh hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pada masa ini sebanyak RM19.8 juta sudah disalurkan bagi membantu pesawah terkesan di seluruh negara.

Jelas beliau, dana itu sudah melebihi daripada jumlah sebenar sebanyak RM10 juta setahun diperuntukkan kementerian berkenaan.

"Tabung bencana ini kita aktifkan untuk membantu pesawah yang terlibat dengan kejadian bencana, ribut dan penyakit padi yang menyebabkan pesawah mengalami kerugian," katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Seminar Peningkatan Hasil Padi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini pada Selasa.

Ahmad berkata, menerusi bantuan itu, pesawah terjejas memperoleh bantuan kewangan sebanyak RM800 bagi setiap 0.4 hektar tanaman padi.
Artikel Berkaitan:


"Kita harap bantuan ini dapat membantu mengurangkan beban pesawah yang dilanda bencana selain menjamin bekalan keselamatan makanan negara terus mencukupi," jelasnya.