Tumpu dasar sokong perniagaan, bank bantu PKS isu pembayaran balik

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Keputusan untuk memberikan moratorium atau sebaliknya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) amat bergantung kepada pertimbangan pihak bank sama ada PKS mampu membuat pembayaran balik, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, kerajaan boleh menggalakkan dasar yang membantu rakyat, katanya sambil menyatakan harapan bank dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menyokong PKS serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang benar-benar menghadapi kesukaran.

"Saya optimis, bersama-sama dengan Bank Negara, bahawa pertumbuhan (ekonomi) kita pada tahun ini akan mengatasi jangkaan kami, iaitu antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus.

"Kita berada di trajektori pertumbuhan, ekonomi sedang berkembang dan kita perlu menyokong syarikat yang masih memerlukan," katanya pada sidang media di luar Persidangan Perbankan Malaysia 2022 hari ini.

Tengku Zafrul berkata, ekonomi Malaysia telah berkembang dengan kukuh setakat ini, antaranya berikutan penggunaan domestik yang meningkat, sektor eksport yang lebih kukuh dan pertumbuhan pinjaman yang lebih baik, justeru, langkah-langkah yang diambil semasa krisis ekonomi akibat pandemik mungkin bukan penyelesaian terbaik pada masa ini.

Beliau berkata, sumber yang terhad perlu digunakan untuk membantu kumpulan sasar dan sokongan menyeluruh mungkin tidak mampan.

Katanya, PKS dan PMKS telah menerima banyak bantuan daripada kerajaan seperti pembiayaan dengan moratorium dalam Bajet 2022 di bawah inisiatif Semarak Niaga.

Malah, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) telah dilaporkan sebagai berkata bahawa satu lagi moratorium pinjaman hanya akan menambah masalah PKS.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, bank mula memberi pinjaman lebih daripada paras sebelum pandemik, sambil menambah bahawa pembiayaan bersih sektor perbankan telah berkembang sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

"Pengeluaran sebenarnya telah mengatasi paras sebelum pandemik, ia meningkat kepada RM71 bilion pada suku kedua 2022 berbanding purata RM57 bilion pada 2017-2019. Bank masih memberikan pinjaman," katanya.