Dua murid maut motosikal dilanggar lori, kereta

Keadaan kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga mengorbankan dua murid lelaki dekat Sungai Manik, pada Isnin. Gambar kecil: Ahmad Adnan
Keadaan kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga mengorbankan dua murid lelaki dekat Sungai Manik, pada Isnin. Gambar kecil: Ahmad Adnan
A
A
A

TELUK INTAN - Dua murid lelaki Tahun 5 maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Parit 7A Sungai Manik dekat sini, pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, kedua-dua mangsa berusia 11 tahun masing-masing penunggang dan pembonceng motosikal, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang merupakan sepupu itu dalam perjalanan dari arah Parit 7B menghala ke jalan besar Sungai Manik.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, semasa sampai di tempat kejadian, motosikal jenis Honda Ex-5 dinaiki mangsa tidak berhenti ketika keluar simpang.

"Keadaan itu mengakibatkan sebuah lori yang datang dari arah Langkap menghala Teluk Intan melanggar motosikal mangsa.

"Pelanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke laluan sebelah dan ketika itu datang pula sebuah kereta dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa," katanya kepada pemberita, pada Isnin.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berusia 43 tahun dan pemandu kereta jenis Proton Waja berusia 29 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan dan siasatan lanjut kini diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan, seorang daripada mangsa yang beralamat dari Klang, Selangor pulang ke kampung di Labu Kubong di sini untuk menemui sepupunya itu, sempena cuti sekolah.