Sayang diri, usah terlibat rasuah: Lan Pet Pet

Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Azliana Wan Adnan (depan, tiga dari kanan) bersama petugas pasukan Rasuah Busters bergambar bersama Lan Pet Pet sempena penganjuran Kafe Rasuah Busters On The Go pada Sabtu.
Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Azliana Wan Adnan (depan, tiga dari kanan) bersama petugas pasukan Rasuah Busters bergambar bersama Lan Pet Pet sempena penganjuran Kafe Rasuah Busters On The Go pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jangan musnahkan hidup kerana rasuah. Bahaya rasuah bukan sahaja merosakkan diri malah akan terpalit kepada ahli keluarga tercinta.

Demikian tegas pelawak terkenal, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet yang mengakui perbuatan rasuah bakal 'menjahanamkan' kerjaya dan reputasi dibina dengan hanya sekelip mata.

Lan Pet Pet kini terlibat sebagai pembantu khas peguam di syarikat guaman, Aswandi Hashim & Co mengendalikan kes-kes jenayah di Mahkamah Alor Setar berkata, terlibat dengan rasuah secara automatik akan menyebabkan akhlak seseorang itu rosak seterusnya dipandang hina.

Lan Pet Pet menjadi panel Kafe Rasuah Busters On The Go bertajuk Hijrah Seorang Pelawak sempena program Bersama2050 anjuran MyKampus Radio (MKR) di Berjaya Times Square pada Sabtu.
Lan Pet Pet menjadi panel Kafe Rasuah Busters On The Go bertajuk Hijrah Seorang Pelawak sempena program Bersama2050 anjuran MyKampus Radio (MKR) di Berjaya Times Square pada Sabtu.

Mazlan, 53, juga anggota kumpulan Senario menjelaskan, tidak mengira si pemberi atau penerima, kedua-duanya adalah golongan yang tidak mempunyai akhlak atau perilaku baik kerana individu tersebut dicemar budaya menjijikkan.

"Saya secara rendah diri menyeru semua di luar termasuk diri saya sendiri untuk mengelak daripada terlibat dengan amalan rasuah.

"Jika buat bisnes apa sekali pun, cuba elakkan daripada rasuah. Sebab Nabi Musa pernah bertanya kepada iblis, apakah yang kau hendak hasut lagi? Aku hendak hasut umat Nabi Muhammad dengan duit.

"Sebab itu, kita semua kena buka cerita-cerita sebegini supaya kita saling memperingati antara satu sama lain. Mungkin selalunya orang ingat saya ini suka merapu dan saya bukan orang yang perlu dihormati, namun saya menyeru orang ramai untuk sama sekali tidak terlibat dengan rasuah kerana ia memusnahkan," katanya kepada kru Rasuah Busters.

Artikel Berkaitan:

Lan Pet Pet (kanan) bersama hos Kafe Rasuah Busters On The Go, Zack Merican pada program Bersama 2050 anjuran (MKR) di Berjaya Times Square pada Sabtu.
Lan Pet Pet (kanan) bersama hos Kafe Rasuah Busters On The Go, Zack Merican pada program Bersama 2050 anjuran (MKR) di Berjaya Times Square pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Kafe Rasuah Busters bertajuk 'Hijrah Seorang Pelawak' yang diadakan sempena penganjuran majlis 'Bersama2050 Edisi Kedua' anjuran MyKampus Radio (MKR) di Berjaya Times Square, di sini.

Mengulas lanjut, Lan Pet Pet berkata, majikannya kini adalah penasihat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kelebihan itu sebolehnya mahu digunakan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung rasuah serta salah guna kuasa.

Menurutnya, pengalaman yang dikutip selama ini dengan bekerjasama pelbagai agensi mahu dikongsi dengan orang ramai dan dijadikan panduan bersama.

Jelasnya, mungkin ada mesej mengenai rasuah yang mahu disampaikan kepada orang ramai tetapi perkara itu tidak dapat disempurnakan dengan baik kerana keterbatasan, namun ia boleh melekat di hati orang ramai apabila cara penyampaian secara bersahaja dan lawak.

"Mungkin ada pihak boleh menggunakan saya untuk menyampaikan mesej tentang rasuah yang tidak sampai kepada umum, maka mereka boleh gunakan saya menerusi pendekatan santai dan berlawak.

"Mesej yang hendak saya sampaikan dan tekankan kepada orang ramai tentang rasuah adalah kerosakan akhlak. Bukan sahaja kepada diri malah merosakkan agama, bangsa dan negara," kata beliau.

Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Azliana Wan Adnan (depan, tengah) dan Lan Pet Pet bergambar bersama peserta yang hadir pada program Kafe Rasuah Busters On The Go di Berjaya Times Square pada Sabtu.
Pengerusi Rasuah Busters Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Azliana Wan Adnan (depan, tengah) dan Lan Pet Pet bergambar bersama peserta yang hadir pada program Kafe Rasuah Busters On The Go di Berjaya Times Square pada Sabtu.

Selain itu ujarnya, orang ramai terutama dirinya sendiri perlu lebih berwaspada menerima apa jua bentuk sumbangan daripada mana-mana pihak.

Tegasnya akan melakukan pemeriksaan terhadap sumber pemberi bagi memastikan tidak berlakunya unsur rasuah.

Dakwanya, sesetengah penyumbang mahu memberikan sumbangan adalah mereka yang cuba melarikan diri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Saya sebenarnya berasa sangat takut terutama berhadapan dengan situasi seumpama ini. Bila nama tengah naik, mungkin ada pihak mahu mengambil kesempatan.

"Disebabkan benda-benda kita tidak 'alert' dan berhati-hati ini, habis semua telah kita usahakan akan musnah.

"Malah disebabkan duit orang hendak bagi kepada kita kononnya kerana ingin bersedekah dan kita pula terima bulat-bulat, memang kita akan akan berhadapan dengan kesusahan sekiranya tidak bernasib baik," ujar Lan Pet Pet.