Kerajaan perhebat kesiapsiagaan hadapi banjir

Gambar hiasan. Gambar kecil: Ismail Sabri
Gambar hiasan. Gambar kecil: Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan memperhebatkan persediaan negara berdepan sebarang kemungkinan dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini hingga Mac tahun depan dengan memperuntukkan lebih RM15 juta untuk pelbagai kesiapsiagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sebanyak RM8 juta diperuntukkan untuk Pengurusan Pengoperasian Bencana MTL 2022/2023 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi kegunaan di 160 daerah.

Menurutnya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta bagi menyediakan 320 buah bot fiber bersama dengan enjin untuk daerah-daerah terbabit sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai initial responder ketika berlakunya bencana.

"Kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air seperti bot, treler bot dan jet ski milik semua agensi dari seluruh negara untuk menghadapi musim monsun ini. Semua aset-aset ini perlu di koordinasi dengan sebaik mungkin supaya kerja-kerja menyelamat dilaksanakan dengan berkesan.

"Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti menempatkan 1,620,855 mangsa.

"Kerajaan turut memperuntukkan RM2.59 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS seperti penyediaan bilik mandi serta tandas," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada Isnin.

Ismail Sabri menambah, mesyuarat juga bersetuju supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah diaktifkan segera dan peranannya di semua lokasi bencana diperkasakan.

Katanya, secara keseluruhannya, seramai 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha memantapkan kesiapsiagaan Keluarga Malaysia, sebanyak 155 program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan 12,534 peserta yang terdiri daripada ketua-ketua komuniti, belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Jelas beliau lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia diarahkan agar asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku digunakan oleh orang ramai yang terjejas khususnya untuk memberi keselesaan kepada warga emas, anak-anak kecil dan wanita.

"JKM juga perlu menyediakan makanan retort dalam tempoh 24 jam pertama, keperluan bayi dan warga emas seperti lampin pakai buang untuk mangsa bencana yang dipindahkan ke PPS.

"Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) juga telah mengagihkan sebanyak 59,350 kit makanan dan 127,272 buah 'cubicle tent' bagi memastikan kelancaran pengurusan penempatan di PPS dan kebajikan mangsa apabila berlakunya bencana," jelas beliau.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, JPBN dan JPBD juga perlu memastikan sistem amaran awal bencana terutama di lokasi yang sering dinaiki air berfungsi dengan baik.

"Mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.

"Pengumuman berpindah akan turut dibuat oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa melalui sistem pembesar suara,"katanya.

Justeru, seluruh Keluarga Malaysia khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan risiko banjir diminta supaya sentiasa peka dengan amaran awal bencana dan berpindah dengan kadar segera sekiranya mendapat arahan daripada pihak berkuasa.

-