'Tidak mustahil PM dari Sabah, Sarawak'

Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan
Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan tidak menolak kemungkinan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dipilih dari pemimpin Sabah dan Sarawak.

Ia berikutan isu tuntutan mengembalikan semula 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak yang dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dilihat sebagai peluang untuk kedua-dua jawatan itu boleh disandang oleh pemimpin dari negeri ini.

Beliau berkata, penambahan kerusi itu menggambarkan perkongsian dalam penubuhan Malaysia iaitu perkongsian antara tiga wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Walaupun kita hanya ada 35 peratus kerusi nanti, ini merupakan satu pengiktirafan bahawa tanpa Sabah dan Sarawak tidak ada Malaysia.

"Sebab itu suatu hari nanti Perdana Menteri boleh datang daripada Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis pelancaran AirAsia ride di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung isu tuntutan 35 peratus kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak yang dibincangkan dalam mesyuarat kelima MKMA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut berpandangan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus bersetuju jika 35 peratus itu dikembalikan kepada Sabah.

"SPR kena akur kepada aspirasi rakyat dan aspirasi politik serta dengan keadaan semasa, sebab ini suatu jaminan dan janji bila masa kita adalah rakan kongsi dan tidak ada satu pun wilayah yang boleh menguasai dua pertiga daripada kerusi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

"Jadi sebab itu saya percaya SPR adalah suatu badan yang bijak, yang praktikal dan menerima apa yang patut. Maka saya percaya mereka akan setuju," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Jeffrey memberitahu, STAR sudah mengenal pasti calon yang akan bertanding.

Beliau turut mengesahkan kerusi yang akan ditandingi STAR juga akan ditambah, namun senarai calon belum lagi dihantar kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Sudah pasti (tambahan kerusi STAR). Senarai nama belum lagi (dihantar ke GRS)," katanya.

Ahli Parlimen Keningau itu juga akan mempertahankan kerusi yang disandangnya pada PRU15 nanti.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada rakyat jika masih mahu memilihnya sebagai wakil rakyat di Parlimen Keningau.

"Kalau rakyat masih mahu saya, saya akan mempertahankan," katanya.