Kerajaan beri perhatian jumlah wakil Sabah, Sarawak di Parlimen: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.

Perdana Menteri berkata, ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikannya pada Khamis.

Menurut catatan di Facebooknya pada Jumaat, mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; menteri-menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata, mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Ismail Sabri berkata, perkara lain yang dibangkitkan pada mesyuarat itu termasuk isu berkaitan ekonomi dan kesihatan di kedua-dua negeri Borneo berkenaan.

Perdana Menteri turut memberi komitmen kerajaan terhadap pembangunan Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang itu menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang 7 Okt ini.

"Insya-Allah, segala isu yang berbangkit di negeri-negeri Borneo ini akan diambil perhatian selaras semangat Keluarga Malaysia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: