128 kawasan berisiko banjir di Melaka

Rahmad
Rahmad
A
A
A

MELAKA - Sebanyak 128 lokasi di negeri ini telah dikenal pasti akan mengalami taburan hujan tinggi seterusnya berisiko banjir pada pertengahan November depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), pihaknya telah bersedia untuk menghadapi banjir disebabkan perubahan Monsun Timur Laut pada bulan itu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 18 merupakan lokasi baharu.

"Jawatankuasa Banjir Melaka yang dianggotai kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama agensi bertindak telah ditubuhkan bagi mencari jalan penyelesaian proaktif.

"Persediaan kita menghadapi banjir pada November depan telah 90 peratus siap melalui pelbagai program mitigasi dan pengurusan banjir melibatkan semua agensi yang terlibat.

"Kerja-kerja mendalam serta melebarkan sungai di bawah projek rancangan tebatan banjir (RTB) juga sedang berjalan contohnya di Duyong bagi memastikan air hujan mengalir dengan baik ke Sungai Duyong," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pemasangan sistem siren amaran banjir di 18 lokasi kini telah 70 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini.

"Kita juga mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah di tepi sungai untuk sentiasa berwaspada.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana biarpun kita telah siap siaga, namun taburan hujan berkemungkinan boleh menjadi lebih besar dan akan menjejaskan kawasan rendah serta kawasan berhampiran sungai," kata beliau.

Rahmad turut berharap kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan permohonan menyelesaikan masalah banjir di jalan Persekutuan yang berpunca daripada pembentung yang sempit sehingga air sukar mengalir.