Kanak-kanak 9 tahun mohon orang ramai bantu jejak ibu

Mohd Adam bersama ibu bapa angkatnya memohon bantuan orang ramai untuk menjejak ibu kandung, Aminah Mina yang terpisah lahir, sembilan tahun lalu.
Mohd Adam bersama ibu bapa angkatnya memohon bantuan orang ramai untuk menjejak ibu kandung, Aminah Mina yang terpisah lahir, sembilan tahun lalu.
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak lelaki dari Kampung Kerla, Temalir di sini memohon bantuan orang ramai untuk menjejaki ibunya yang terpisah sejak lahir, sembilan tahun lalu.

Mohd Adam Abdullah, 9, yang dilahirkan di Hospital Kuala Krai pada 10 Ogos 2013 terpaksa diserahkan kepada keluarga angkat selepas ibunya, Aminah Mina tidak mampu untuk membayar bil hospital.

Ibu angkat Mohd Adam, Chema Naemoh, 56, berkata, kali terakhir dia dan suami, Nasir Setapa, 61, berjumpa Aminah ialah semasa mengambil Mohd Adam di hospital berkenaan.

"Selepas itu kami tidak berhubung, tetapi pelbagai cara dilakukan untuk mencari Aminah namun menemui jalan buntu.

"Sehinggalah kami dimaklumkan Aminah sekarang berada di Thailand," katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata, semasa Mohd Adam diserahkan kepada mereka, Aminah tidak meninggalkan sebarang dokumen sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan pengesahan penjagaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, mereka merayu kepada sesiapa mengenali atau mengetahui tentang Aminah dapat menghubungi dengan kadar segera di talian 017-2498897.

Chema berkata, disebabkan tiada dokumen lengkap, pelajaran Mohd Adam sedikit terganggu dan berharap pertemuan dengan ibu kandungnya mampu mengembalikan fokus dan minatnya terhadap pelajaran.

Artikel Berkaitan: