Bot nelayan ditahan langgar syarat lesen tunda ikan

Bot nelayan tempatan kelas C ditahan Maritim Malaysia pada kedudukan lebih kurang 1.35 batu nautika dari barat Pulau Intan Kecil. - Foto Maritim Malaysia
Bot nelayan tempatan kelas C ditahan Maritim Malaysia pada kedudukan lebih kurang 1.35 batu nautika dari barat Pulau Intan Kecil. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A
LANGKAWI - Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis pada kedudukan lebih kurang 1.35 batu nautika dari barat Pulau Intan Kecil di sini kerana melanggar syarat sah lesen pada Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, bot nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan bergelap ketika anggota penguat kuasa sedang melakukan rondaan rutin Op Aman pada jam 6 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan, bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama tiga kru, dua daripadanya adalah warganegara Thailand yang kesemua kru berumur antara 40 hingga 47 tahun.

"Bot dan kesemua kru ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk tindakan lanjut bersama hasil tangkapan ikan dianggarkan 80 kilogram.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen menunda ikan di bawah 15 batu nautika dari pesisir pantai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Artikel Berkaitan: