Kaji isu gaji pasukan keselamatan

Mohamad (kiri) bersalaman dengan salah seorang peniaga yang menyertai Karnival SAM @ My Best Buy Parlimen Kota Raja, di Stesen Mardi Jalan Kebun.
Mohamad (kiri) bersalaman dengan salah seorang peniaga yang menyertai Karnival SAM @ My Best Buy Parlimen Kota Raja, di Stesen Mardi Jalan Kebun.
A
A
A

KLANG – Kementerian Pertahanan berharap isu gaji pasukan keselamatan negara akan dikaji bagi menarik lebih ramai rakyat pelbagai kaum menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, ketika ini penyertaan masyarakat bukan Melayu terutamanya Cina masih belum menggalakkan.

“Antara perkara yang perlu ditingkatkan termasuklah isu gaji. Saya rasa serupa dalam pasukan polis dan tentera, masyarakat Cina kurang (terbabit).

“Atas sebab itu kerajaan boleh fikirkan tangga gaji yang lebih sesuai untuk tentera dan polis untuk tarik semua kaum untuk berkhidmat terutama di peringkat bawahan.

“Kita bukan ada kerahan tenaga seperti di negara lain. Khidmat ini masih menjadi khidmat pilihan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival SAM @ My Best Buy Parlimen Kota Raja, di Stesen Mardi Jalan Kebun, di sini, tadi.

Turut hadir, Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian Dan Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim; ADUN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni; ADUN Sentosa, G. Gunaraj; ADUN Kota Kemuning, V.Ganabatirau dan Pengarah Fama Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin.

Menurut beliau, kementerian masih mempergiatkan lagi kempen bagi menggalakkan golongan muda menyertai pasukan beruniform itu.

“Buat masa ini sambutan daripada kaum amat menggalakkan berbanding kaum Cina. Harap dengan kempen yang kita jalankan sekarang dapat membantu menarik semua kaum supaya memilih tentera sebagai kerjaya.

Artikel Berkaitan:

“Macam hari ini, kita turut sediakan ruang pameran kerjaya untuk menarik minat orang ramai dan sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya.