Juruterbang helikopter ditemui

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Juruterbang helikopter jenis Eurocopter yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada Ahad disahkan ditemui.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) bahawa juruterbang tersebut ditemui di lokasi nahas sekitar Bidor, pada jam 8.20 pagi Isnin.

"Syukur! Saya baru sahaja dimaklumkan oleh CAAM bahawa juruterbang helikopter yang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur semalam telah ditemui di lokasi nahas sekitar Bidor, pada jam 8.20 pagi hari ini.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini.

"Ketika ini, pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membawa juruterbang tersebut ke Hospital Ipoh," katanya dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.

Helikopter syarikat swasta berkenaan terbang dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada jam 11.37 pagi Ahad dan terdapat seorang juruterbang dalam helikopter berkenaan.

Helikopter berkenaan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada jam 12.37 tengah hari namun telah hilang dan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada jam 12.16 tengah hari.

Artikel Berkaitan: