Jangan adakan PRU15 kerana ugutan: Anwar

Anwar (kanan) ketika program Sesi Townhall: Pentas Interaksi Anak Muda anjuran Anwar Ibrahim Legislative Internship (AILA) di PAUM, di sini, pada Ahad.
Anwar (kanan) ketika program Sesi Townhall: Pentas Interaksi Anak Muda anjuran Anwar Ibrahim Legislative Internship (AILA) di PAUM, di sini, pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan segera kerana dakwaan menerima ugutan untuk berbuat demikian.

Menurutnya, jika benar ugutan dibuat segelintir pihak terhadap Ismail Sabri, perbuatan itu amat tidak wajar.

"Tindakan tersebut yang dikatakan bertujuan bagi membebaskan pihak tertentu daripada dakwaan mahkamah adalah mencerminkan sikap mementingkan diri sesetengah pihak.

"Perdana Menteri tidak boleh tetapkan tarikh pilihan raya atas ugutan pihak tertentu, untuk kepentingan mereka membebaskan diri dari kes mahkamah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai program Sesi Townhall: Pentas Interaksi Anak Muda anjuran Anwar Ibrahim Legislative Internship (AILA) di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini, pada Ahad.

Mengulas mengenai penolakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) terhadap hasrat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai PH, beliau memberitahu, perkara itu memerlukan perbincangan lebih lanjut.

"Walaupun ada pelbagai alasan, tapi kita kena bincang dengan teliti isu tersebut dari aspek lain seperti apa implikasinya.

"Sesiapapun yang bersama dengan PH, ia ada prinsip utama yang harus diguna pakai dan disepakati," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ketika ditanya tentang Bajet 2023, Ahli Parlimen Port Dickson tersebut menjelaskan, pihaknya tidak sempat membuat perbincangan dengan lebih mendalam memandangkan tarikh pembentangannya yang telah diawalkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa bajet tersebut harus tetap mengambil kira soal perubahan dan struktur taraf hidup rakyat.

"Kita masih tegak (pendirian) dengan isu tata kelola dan urus tadbir. Sebab, masalahnya ialah bila kita umum projek, semua menteri ketagih projek. Tidak ada ketelusan, ini juga saya tekankan. Rundingan sudah bermula dan Pakatan Harapan (PH) akan teliti dalam Majlis Presiden," tambah Anwar.