Solat Subuh berjemaah dapat RM3, hadiah basikal

Kempen bermula awal September dikongsikan di aplikasi Tiktok. (Gambar kecil: Azizan)
Kempen bermula awal September dikongsikan di aplikasi Tiktok. (Gambar kecil: Azizan)
A
A
A

SELAYANG - Lebih ramai kariah berjemaah pada waktu subuh selepas Surau Hidayatul Mustaqim di Selayang Baru di sini melancarkan kempen menawarkan basikal kepada remaja yang konsisten ke surau.

Pengerusinya, Azizan Md Ali berkata, selain diberikan RM3 secara harian, mereka yang solat Subuh berjemaah juga berpeluang membawa pulang dua basikal akan diagihkan setiap dua bulan.

Beliau berharap, kempen itu disahut penduduk setempat bagi mengimarah surau khususnya dalam kalangan anak muda.

"Kempen memfokuskan kepada murid sekolah rendah dan menengah. Datang saja subuh dapat RM3 seorang, kemudian kami akan buat penilaian dua bulan sekali dan yang mana konsisten berpeluang bawa pulang basikal.

"Insya-ALLAH jika ada lebih kemampuan, program ini akan diperluaskan dengan hadiah yang lebih lumayan," katanya pada Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, program itu perlu dilihat dari aspek positif yang bukan bersifat 'upah' untuk suruh solat sebaliknya motivasi untuk lebih ramai penduduk berjemaah.

"Ia sebagai mendidik anak-anak untuk membiasakan diri berjemaah di surau atau masjid sejak kecil.

"Pada masa sama, ia juga sebagai teguran kepada orang dewasa. Jika anak-anak berjemaah di surau, takkan mak ayah hanya solat di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan: