KBS sokong RUU larang generasi muda merokok

Lian Ker (tengah) bergambar bersama peserta ketika Program Larian Generational End Game Anti Rokok (GEGARUN) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Sabtu. - Foto Bernama
Lian Ker (tengah) bergambar bersama peserta ketika Program Larian Generational End Game Anti Rokok (GEGARUN) di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi melarang aktiviti merokok dalam kalangan generasi muda lahir selepas 2007 untuk membina Keluarga Malaysia yang lebih sihat.

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kementeriannya telah memperuntukkan RM100,000 untuk dibelanjakan ke arah penganjuran aktiviti memupuk dan meningkatkan kesedaran bahaya merokok.

"Menjadi tanggungjawab KBS bukan sahaja untuk mengasah dan mengasuh golongan belia supaya menjadi pemimpin malah untuk memupuk mereka agar mempunyai disiplin dan kesedaran bahawa merokok ini membebankan diri mereka dan negara, dari segi penyakit dan sebagainya.

"KBS secara prinsip dan dasar menyokong supaya satu akta diadakan untuk mengurus dengan lebih ketat lagi produk-produk tembakau," katanya kepada pemberita pada program Generational Endgame Anti Rokok (GEGAR) Run pada Sabtu.

Pada 27 Julai lepas, RUU tersebut telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: