Penyokong JDT, Terengganu banjiri stadium

Suasana para penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Suasana para penonton yang hadir bagi menyaksikan perlawanan Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
A
A
A

BAHANG aksi final Piala FA 2022 melibatkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) malam ini, mulai dirasai apabila penyokong kedua-dua pasukan berkongsi keterujaan dengan membanjiri pekarangan venue berkenaan.

Lebih menarik, ada dalam kalangan penyokong mula hadir di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) seawal tengah hari, selaku ‘pemain ke-12’ bagi memberi sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

Penyokong TFC dari Dungun, Che Mat Hamzah, 48, berkata, dia bersama keluarga mula berada di pekarangan SNBJ pada 11.30 pagi kerana menjangkakan trafik sesak dalam perjalanan ke stadium tersebut.

"Saya tidak kisah datang awal, apa yang penting untuk menyaksikan kejuaraan Piala FA berjaya dibawa pulang ke Terengganu. Setelah sekian lama tidak menjulang trofi, saya yakin kali ini hasrat itu dapat ditunaikan," katanya kepada Bernama.

Ada penyokong mula hadir di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil seawal tengah hari. - Foto Bernama
Ada penyokong mula hadir di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil seawal tengah hari. - Foto Bernama

Kali terakhir TFC menjulang Piala FA ialah pada musim 2011 setelah menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi final.

Penyokong JDT Hidayat Tarmizi, 34, pula berkata, ini kali kedua dia hadir ke SNBJ selepas final Piala Malaysia 2021, yang menyaksikan pasukan kesayangannya tumpas 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC.

Beliau yang memanfaatkan cuti sekolah dengan membawa isteri dan dua anak dari Mersing, mengharapkan tuah memihak kepada JDT untuk merangkul kejuaraan kedua selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas PKNS FC pada edisi 2016.

Sementara itu, Danial Zainudin, 27, dari Petaling Jaya, berkata, walaupun pasukannya Selangor FC gagal mara ke pentas final, dia hadir ke stadium untuk meluangkan masa pada hujung minggu dengan menyaksikan perlawanan akhir tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya kedua-dua pasukan bakal mempamerkan aksi sengit malam ini," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sebilangan penonton mula memasuki stadium selepas pintu dibuka pada 5 petang, dan aksi final dijangka berlangsung 9 malam ini.

Selain final Piala FA, kawasan persekitaran SNBJ turut meriah dengan persembahan konsert band popular dari Indonesia di Axiata Arena serta penganjuran pesta ria. - Bernama.