'Warga Klang sila ambil perhatian'

Penduduk daerah Klang disarankan berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada Ahad
Penduduk daerah Klang disarankan berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM: Penduduk daerah Klang disarankan berwaspada dengan fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku mulai September hingga Disember ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berkata, peringatan itu perlu diberikan perhatian bagi mengelak sebarang kejadian buruk menimpa penduduk terbabit.

"Sila ambil perhatian," katanya yang turut berkongsi maklumat Pejabat Tanah dan Daerah Klang mengenai persediaan dalam menghadapi fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut di laman Facebooknya pada Sabtu.

Pada Sabtu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan fenomena itu boleh membawa risiko banjir dan runtuhan ban.

"Pada September ini, paras air laut tertinggi di Stesen Pelabuhan Klang dijangka berlaku pada 12 September iaitu 5.5 meter (m) pada jam 7.18 pagi

"Pada 11, 13 dan 28 September pula pada paras 5.4m sekitar jam 6.42 pagi hingga 7.49 pagi manakala 14, 27 dan 29 September, paras air laut pada 5.3m sekitar jam 6.52 pagi hingga 8.16 pagi," menurut kenyataan itu di laman Facebooknya.

Sehubungan itu katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) mengingatkan semua warga Klang untuk sentiasa peka dan cakna dengan keadaan semasa alam sekeliling.

"Sentiasa mendapatkan maklumat terkini keadaan cuaca dan arahan lanjut pihak agensi kerajaan bertanggungjawab.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terdapat laporan berhubung kejadian bencana, warga Klang boleh menghubungi talian kecemasan seperti PDT Klang di talian 010-8691067 atau 03-33716700.

"Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang akan dibuka mulai esok," jelasnya.

Pada masa sama, penduduk di kawasan berisiko digalakkan sentiasa bersedia dengan satu beg kecemasan bencana (ready2go) di rumah.

"Sepanjang tempoh ini, penduduk dinasihatkan bersedia dengan beg khas dengan meletakkan barang seperti dokumen penting, wang tunai, air mineral, kit perubatan, kit kebersihan, tuala, pakaian, telefon bimbit," katanya.

Sementara itu, penduduk juga sudah membuat persediaan bagi menghadapi kemungkinan berlaku fenomena air pasang besar yang dijangka bermula pada Ahad.

Tinjauan di beberapa kawasan seperti di Jalan Selat Selatan dan Teluk Gong di sini mendapati penduduk mengambil langkah awal termasuk mengalih kenderaan ke tempat lebih tinggi dan selamat.

Malah penduduk di kawasan kurang berisiko seperti di Taman Teluk Gedung Indah di sini juga mengambil langkah berwaspada kerana bimbang sekiranya hujan lebat turut melanda.

Seorang penduduk, Mohd Shahrul Adnan, 29, berkata, fenomena air pasang besar dan Monsun Timur Laut akan menjadi buruk sekiranya hujan lebat melanda beberapa kawasan di daerah berkenaan.

"Biasanya fenomena air pasang akan menyebabkan kawasan seperti Jalan Selat Selatan dan Teluk Gong di naiki air namun kita di Taman Teluk Gedung Indah juga berisiko jika keadaan itu disusuli hujan lebat," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, Mohd Noramin, 30, pula berkata, dia dan rakan-rakan yang bekerja di Perlabuhan Klang juga sudah membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang risiko termasuk mengelak kenderaan daripada ditenggelami air.

"Dalam kejadian sebelum ini air pernah naik secara mengejut di pelabuhan dan tidak ramai yang bersedia, namun kali ini kami mula membuat persediaan awal bagi mengelak perkara buruk daripada berulang," ujarnya.

Bagaimanapun, bagi seorang pemancing, Zulkifli Noordin, 44, berkata, memandangkan air belum lagi pasang tinggi, masanya yang terluang diisi dengan memancing di pelabuhan berkenaan.

"Air memang sudah tinggi dari biasa, sebab itu saya ambil kesempatan memancing ikan, mana tahu kalau ada rezeki dan biasanya pemancing banyak mendapat tangkapan ikan berbanding hari biasa," katanya.