Liga M3: Lapan pasukan dalam proses lengkap pelesenan kelab

No Image Caption
A
A
A

LAPAN pasukan Liga M3 2022 kini dalam fasa untuk melengkapkan penyerahan dokumentasi bagi proses pelesenan kelab.

Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, pihaknya dengan kerjasama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini telah mengadakan sesi taklimat khas pelesenan kelab pada 15 Ogos lepas bagi lapan pasukan yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir.

Jelasnya, mereka diberi tempoh masa kira-kira sebulan untuk melengkapkan proses pelesenan yang dimaksudkan.

“Program itu bertujuan bukan sahaja menjadi modul pendidikan sebaliknya ia bakal menjadi titik permulaan untuk membimbing pasukan ke arah pengurusan dan pentadbiran yang lebih efisien berlandaskan peraturan pelesenan kelab.

“Ini kerana selaras struktur baharu Liga Super yang bakal dibarisi 18 pasukan pada musim 2023, dua wakil daripada Liga M3 akan memperoleh slot bermain di liga nombor satu negara sekali gus menjadi pasukan yang berpotensi untuk bermain di Liga Super pada tahun hadapan dan kelulusan untuk pelesenan kelab adalah satu keperluan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pasukan dapat melengkapkan urusan pelesenan kelab walaupun tidak berjaya melangkah ke final mahupun play-off ke Liga Super 2023.

"Pelesenan kelab kini menjadi satu kewajipan kepada pasukan yang ingin bermain di peringkat yang tertinggi dan adalah sangat baik jika semuanya telah pun bersedia sewaktu di peringkat Liga M3 lagi.

“Justeru, AFL berharap kerjasama penuh daripada pasukan-pasukan yang berkenaan agar dapat menyelesaikan proses dokumentasi pelesenan kelab sehingga 17 September ini.

Artikel Berkaitan:

“Jika mereka gagal berbuat demikian atau lebih tepat tidak memenuhi syarat pelesenan kelab, mereka tidak akan diterima untuk bermain di Liga Super 2023 oleh MFL biarpun berjaya mencatat kemenangan pada perlawanan play-off akan datang.

“Apapun saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan-pasukan Liga M3 yang bakal bermain dalam aksi separuh akhir pusingan kedua Liga M3 pada Ahad ini,” katanya.

Untuk rekod, lapan pasukan yang kini dalam fasa untuk melengkapkan penyerahan dokumentasi bagi proses pelesenan kelab ialah Kuala Lumpur Rovers FC, BRM FC, PIB FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC, Manjung City FC dan Harini FT.