Kesedaran masyarakat mampu banteras jenayah 'scam': Azman

Azman bergambar selepas merasmikan Forum Kesedaran Anti Scam 'Jangan Jadi Mangsa Scam!' pada Sabtu
Azman bergambar selepas merasmikan Forum Kesedaran Anti Scam 'Jangan Jadi Mangsa Scam!' pada Sabtu
A
A
A

PETALING JAYA - Cara terbaik membanteras jenayah penipuan atau 'scam' adalah dengan kesedaran yang tinggi berkenaan pelbagai taktik dan 'ayat' yang digunakan penjenayah terbabit untuk memperdaya mangsa mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor (JSJK), Asisten Komisioner Azman Ali berkata, sebanyak 2612 kes penipuan dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga Sabtu.

Menurutnya, daripada jumlah itu 2,011 atau 76.9 peratus melibatkan kes penipuan dalam talian dan jumlah keseluruhan kerugian sepanjang tempoh terbabit mencecah RM92 juta.

"Kalau ragut atau jenayah biasa kita boleh hantar peronda MPV dan penjenayah ini akan lebih takut untuk melakukannya tetapi cara paling berkesan untuk menghindari daripada menjadi mangsa 'scammer' ini adalah dengan kesedaran masyarakat.

"Penipuan ini terbahagi kepada dua, secara bersemuka dan dalam talian. Penipuan bersemuka individu terlibat senang dikenalpasti tetapi trend sekarang dah berubah dengan perkembangan teknologi membabitkan penipuan dalam talian sekali gus menyukarkan tindakan diambil kerana suspek tidak dikenali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Forum Kesedaran Anti Scam 'Jangan Jadi Mangsa Scam!' yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaludin, dan wakil Affin Bank serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Sabtu.

Dalam pada itu beliau berkata, selain penipuan menerusi telefon seperti Macau Scam, penjenayah terbabit akan menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan maklumat perbankan daripada mangsa dan lebih merumitkan keadaan apabila mangsa lambat menyedari wang mereka telah lesap.

Sebahagian penduduk yang menghadiri forum terbabit pada Sabtu.
Sebahagian penduduk yang menghadiri forum terbabit pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Trend terbaharu, mereka akan bagi pautan dan bila tekan dia akan suruh kita isi maklumat peribadi. Kadang-kadang dia bagi link kononnya Bank Negara Malaysia tetapi sebenarnya tanpa kita sedari telah masuk ke pautan 'scammer'," jelas beliau.

Azman berkata, sindiket penipuan terbabit akan menggunakan nombor telefon yang didaftarkan menggunakan pasport yang diperoleh secara haram dan akaun keldai untuk memindahkan wang.

Jelasnya, wang yang dimasukkan ke dalam akaun keldai terbabit akan dipindahkan ke beberapa akaun keldai lain sebelum akhirnya dikeluarkan dalam tempoh yang singkat menjadikannya sukar untuk dijejaki.

"Sindiket ini memang bijak mereka dah kaji cara untuk elak ditangkap polis. Mereka gunakan nombor telefon didaftarkan ke atas warga asing di negara lain dan guna akaun keldai yang mereka dapatkan dari media sosial.

"Bila jadi macam ini, kita siasat dan tangkap pemilik akaun semua cakap tak kenal siapa. Semua cakap mereka berhubung melalui Facebook sahaja. Tahun ini sahaja kita dah tangkap lebih 2,000 'keldai' ini dan semuanya beri alasan sama," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak wajib bekerjasama untuk meningkatkan kesedaran orang ramai kerana yang menjadi mangsa penjenayah ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kira umur atau latar belakang pendidikan.