Kaji semula pantai Tanjung Balau sebagai lokasi mandi-manda

Hazlina (kiri) bertemu ibu bapa mangsa lemas di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.
Hazlina (kiri) bertemu ibu bapa mangsa lemas di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi mengkaji semula kesesuaian pantai Tanjung Balau sebagai lokasi aktiviti mandi-manda.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Datin Paduka Hazlina Jalil berkata, perkara tersebut perlu dibuat selepas melihat berlakunya kes lemas berulang di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, antara lain akan dibincangkan adalah langkah keselamatan yang perlu dipertingkatkan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di pantai berkenaan.

"Seperti yang kita sedia maklum, kawasan ini baharu sahaja dibuka kepada pengunjung awam selepas dinaik taraf oleh Kejora dan daripada laporan yang saya terima sebelum ini, kebanyakan kes lemas berlaku di kawasan ini.

"Saya akan minta pihak Kejora untuk mempertingkatkan lagi langkah keselamatan di kawasan ini dan akan panggil satu mesyuarat khas untuk membincangkan isu ini," katanya.

Katanya, antara langkah keselamatan yang boleh dipertingkatkan adalah meletakkan pengawal pantai pada setiap masa atau meletakkan papan tanda amaran apabila berlakunya air pasang.

"Kita mungkin boleh keluarkan arahan melarang sebarang aktiviti mandi-manda apabila amaran air pasang dikeluarkan," ujar beliau.

Hazlina berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati apabila berkunjung ke mana-mana kawasan pelancongan terutamanya membabitkan kawasan pantai selain keadaan cuaca yang tidak menentu.

Artikel Berkaitan:

"Jika dahulu kita tahu apabila November mungkin sudah boleh berjaga-jaga dan bersiap sedia kerana mendapat amaran awal keadaan cuaca, tetapi sekarang cuaca tidak menentu sehingga terleka dengan perkara sebegini," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan mayat remaja perempuan yang lemas semasa mandi bersama-sama rakan di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar dekat sini ditemukan pada jam 2.37 petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mangsa yang berusia 13 tahun ditemui pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.