Terengganu peruntuk RM2.5 juta persediaan hadapi banjir

Hanafiah
Hanafiah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu sudah melakukan persiapan rapi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi dengan peruntukan diluluskan setakat ini berjumlah RM2.5 juta sebagai persediaan banjir.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, peruntukan daripada kerajaan pusat dan negeri itu bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan bekalan bencana ini di sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) yang berkapasiti besar di Marang, 17 mini depoh dan 149 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri.

“Semua bekalan keperluan mangsa bencana ini akan mula diagihkan bermula awal sehingga pertengahan Oktober ke mini depoh dan pangkalan hadapan termasuk di kawasan terputus hubungan seperti Pulau Redang serta Pulau Perhentian.

“JKM juga telah menyediakan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Hanafiah berkata, sebanyak 187 stesen hidrologi pemantauan banjir akan beroperasi di seluruh Terengganu pada musim tengkujuh kali ini yang berfungsi sebagai amaran awal apabila paras sungai mencecah tahap bahaya.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 87 stesen hidrologi telah lama beroperasi manakala tambahan 34 stesen daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa Satu sudah memulakan operasi sejak Ogos tahun lalu.

“Terdapat 66 lagi stesen baharu daripada PRAB Fasa Dua yang sedang dalam pembinaan dan ia dijangka siap pada November nanti.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini tujuh unit webcam yang dipasang di beberapa sungai utama di enam daerah akan menjadi penanda aras amaran awal banjir iaitu dua di sungai daerah Kemaman dan masing-masing satu di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Dungun.

“Ini dapat membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat pemantauan selama 24 jam secara 'real time' dari jauh tanpa perlu hadir ke lokasi sungai-sungai tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, sebanyak 21 siren turut dipasang di kawasan berisiko dengan jumlah paling banyak adalah Setiu diikuti Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang dan Kuala Nerus.

“Siren ini akan memberi amaran awal kepada penduduk untuk segera berpindah ke PPS berhampiran dan kita harap orang ramai dapat mengambil langkah awal bagi mengelak mereka terperangkap dalam banjir," katanya.