Pencarum layak terima faedah siling gaji baharu mula 1 September

Mohammed Azman
Mohammed Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) layak menerima faedah caruman siling gaji baharu bawah pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bermula 1 September meskipun caruman hanya akan bermula pada Oktober.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ini kerana jaringan keselamatan sosial adalah termaktub bawah akta sedia ada yang berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

Menurutnya, faedah sama juga boleh diterima oleh pekerja baharu yang mula bekerja pada tarikh sama.

"Peningkatan had siling gaji bermaksud kenaikan siling gaji atau gaji maksimum dari RM4,000 kepada RM5,000, bagi pengiraan jumlah caruman kepada Perkeso.

"Meskipun dikuatkuasakan bermula 1 September, caruman biasanya akan dibayar pada Oktober. Tapi jika berlaku kematian pada 1 September, faedah yang akan diterima adalah berdasarkan faedah yang baharu walaupun caruman belum dibayar.

"Begitu juga jika seorang pekerja diterima bekerja pada 1 September dan dia akan dicarum pada Oktober. Tapi jika dalam perjalanan dia pergi kerja dengan surat tawaran, dia kemalangan dan meninggal, dia layak menerima faedah yang ada bawah Perkeso," katanya kepada pemberita pada sesi temu bual di Menara Perkeso di sini pada Jumaat.

Pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.

Ketika ini mana-mana pekerja yang bergaji RM4,000 sebulan dan ke atas, membayar caruman sebanyak RM88.80 untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta 4.

Artikel Berkaitan:

Selepas RUU Pindaan tersebut diluluskan, pekerja yang bergaji RM5,000 sebulan dan ke atas akan membayar caruman bermula sebanyak RM111.40. Ini mewakili peningkatan bayaran caruman sebanyak RM22.60.

Bagi Akta 800 pula, pada masa ini, mana-mana pekerja yang memperoleh gaji RM4,000 sebulan dan ke atas, membayar caruman sebanyak RM15.80 untuk Sistem Insurans Pekerjaan.

Setelah RUU Pindaan tersebut diluluskan, bayaran caruman bagi pekerja yang bergaji RM5,000 sebulan dan ke atas adalah sebanyak RM19.80. Ini mewakili peningkatan bayaran caruman sebanyak RM4.

Seramai 1.5 juta pekerja atau hampir 19 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara dijangka bakal menerima manfaat daripada peningkatan siling gaji itu yang turut merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, dengan penguatkuasaan pindaan itu, caruman bagi pekerja yang bergaji RM4,000 ke atas akan menerima faedah yang lebih baik jika berlaku kemalangan, kematian, hilang upaya dan sebagainya.

"Jika pencarum mengalami kemalangan dan meninggal dunia, sebelum ini pekerja yang bergaji lebih RM4,000, contohnya gaji RM5,000 sebulan, hanya boleh terima 90 peratus maksimum daripada RM4,000 iaitu waris akan terima RM3,600 sebulan tapi bila peningkatan siling gaji kepada RM5,000 manfaat diterima adalah RM4,500," katanya.