Malaysia rakam takziah kemangkatan Ratu Elizabeth II

Ratu Elizabeth II. - Foto Instagram keluarga diraja England, @theroyalfamily.
Ratu Elizabeth II. - Foto Instagram keluarga diraja England, @theroyalfamily.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada kerabat diraja Britain, rakyat dan kerajaan United Kingdom (UK) atas kemangkatan Ratu Elizabeth II, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

"Baginda ialah tokoh ulung dan sangat berdedikasi sepanjang pemerintahan baginda kepada rakyat UK dan Komanwel," katanya dalam hantarannya di Facebook.

Ratu Elizabeth II, raja paling lama berada atas takhta itu mangkat pada usia 96 tahun.

"Ratu mangkat di Balmoral petang ini. Jasad baginda akan dibawa ke London esok,” umum Istana Buckingham pada Khamis, lapor Agensi Anadolu.

Baginda mempunyai masalah kesihatan sejak 12 bulan lalu atas faktor usia dan terpaksa membatalkan untuk menghadiri acara rasmi atas nasihat doktor.

Kali terakhir baginda menghadiri acara rasmi ialah semasa sambutan Jubli Platinum pemerintahan baginda ke-70 Jun lalu.

Pada tengah hari Khamis satu kenyataan dikeluarkan yang menyatakan Ratu Elizabeth II berada di bawah "penyeliaan perubatan" di Balmoral, Aberdeenshire, Scotland. - Bernama

Artikel Berkaitan: