Jaringan pemain gantian bawa KL City ke final

Pemain pertahanan KL City, Declan Lambert cuba mengekang asakan penyerang ATK Mohun Bagan, Liston Colaco pada aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon. - Foto:FC ATK Mohun Bagan
Pemain pertahanan KL City, Declan Lambert cuba mengekang asakan penyerang ATK Mohun Bagan, Liston Colaco pada aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon. - Foto:FC ATK Mohun Bagan
A
A
A

JARINGAN pemain gantian, Fakrul Aiman Sidid dan Romel Morales memastikan KL City FC mara ke final Piala AFC Antara Zon 2022 setelah menewaskan kelab dari India, ATK Mohun Bagan, 3-1 di Stadium Salt Lake, Kolkata, sebentar tadi.

KL City FC yang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-60 bagaimanapun dipadamkan oleh pemain gantian tuan rumah, Mohammad Fardin Molla menjaringkan gol pada minit ke-90.

Dua pemain gantian, Fakrul Aiman dan Romel Morales muncul wira skuad warga kota itu apabila masing-masing meledak jaringan pada masa kecederaan bagi mengesahkan kemaraan ke pentas final.

Bagaimanapun, skuad kendalian Bojan Hodak itu ternyata menerima tentangan sengit daripada tuan rumah di sepanjang perlawanan.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri menyaksikan ATK Mohun Bagan bermula garang dengan melancarkan asakan-asakan berbahaya ke gawang KL City FC sebaik wisel permulaan.

Namun, beberapa percubaan yang dilakukan gagal menepati sasaran selain dikekang benteng pertahanan KL City FC.

Selain itu, kerja keras benteng pertahanan skuad kendalian Bojan Hodak itu dilihat berjaya menyekat dominasi gergasi bola sepak India itu sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan ATK Mohun Bagan semakin menggandakan asakan dalam usaha meledak jaringan pembukaan perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, hasil satu serangan balas, kapten KL City FC, Paulo Josue berjaya membuka jaringan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti yang sama sekali menewaskan penjaga gol ATK Mohun Bagan, Vishal Kaith pada minit ke-60.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, kesebelasan ATK Mohun Bagan kembali mengasak ke gawang pelawat dalam usaha menyamakan kedudukan.

Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Mohammad Fardin Molla menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-90.

Namun, tempoh enam minit dalam masa kecederaan dimanfaatkan sebaiknya Fakrul yang meledakkan gol kedua disusuli jaringan Morales sekali gus meleburkan sisa-sisa kebangkitan ATK Mohun Bagan hingga ke wisel penamat.

Kemenangan berkenaan menyaksikan KL City FC bakal berdepan kelab dari Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh pada perlawanan akhir.