MIHAS 2022 perkukuh eksport PKS ke luar negara

Haslina (tiga dari kanan) selepas melancarkan Pavilion MAFI @MIHAS 2022 pada Khamis.
Haslina (tiga dari kanan) selepas melancarkan Pavilion MAFI @MIHAS 2022 pada Khamis.
A
A
A

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi 2022 memberi peluang kepada usahawan Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia untuk menceburi bidang pengeksportan yang memiliki potensi pasaran lebih luas.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, sebanyak 20 syarikat dengan tambahan tiga pempamer iaitu daripada AgroBazaar Online, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Malaysia (MARDI) dan juga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) terlibat menyertai MIHAS 2022.

Haslina (tengah) ketika meninjau salah sebuah reruai pempamer sempena MIHAS 2022 pada Khamis.
Haslina (tengah) ketika meninjau salah sebuah reruai pempamer sempena MIHAS 2022 pada Khamis.

Menurutnya, penyertaan itu bagi memperkukuh ruang pasaran eksport ke luar negara bagi PKS selain meneroka peluang perdagangan ke lebih 42 buah negara lain yang terlibat dalam ekspo tersebut.

"MAFI berperanan dalam menyediakan peluang penerokaan produk ke pasaran luar negara kepada usahawan melalui bimbingan agensi di bawahnya berhubung dengan tatacara pengeksportan produk agromakanan ke luar negara, pemilihan produk berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara, selain memastikan produk usahawan memenuhi syarat- syarat kemasukan produk ke negara berkaitan.

"Selain itu MAFI juga bekerjasama bersama penganjur bagi mengatur sesi padanan perniagaan di antara usahawan Malaysia dengan pengimport, pasar raya ataupun outlet peruncitan yang berkaitan," katanya dalam satu kenyataan sempena Pelancaran Pavilion MAFI @MIHAS 2022 pada Khamis.

Dalam pada itu, Haslina berkata, MAFI juga turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan eksport kepada usahawan PKS atau bakal pengeksport, menyediakan platform bagi penerokaan, pengukuhan dan peluasan ruang pasaran eksport bagi produk agromakanan.

"Selain itu MAFI turut menyediakan geran naik taraf pembungkusan dan logistik eksport bagi membantu usahawan agromakanan tempatan merealisasikan tempahan eksport yang di terima mereka," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada majlis sama, beliau turut melancarkan produk baharu Syarikat Nuha Foods Sdn Bhd dan produk terbaharu Agri Dagang Sdn Bhd iaitu stok ikan bilis serta ayam dalam bentuk kiub dan juga serbuk.

MIHAS edisi 2022 yang berlangsung sejak 7 September lalu merupakan penganjuran kali ke-18 pameran perdagangan dan pengguna tahunan yang dianjurkan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan dibuka buat pertama kalinya secara fizikal selepas pandemik Covid-19.

Pameran ini melibatkan penyertaan 549 syarikat daripada 42 buah negara dengan sasaran 17,000 pengunjung dalam sektor perdagangan dan keusahawanan membabitkan anggaran jualan sebanyak RM1.24 billion.

Antara pempamer yang menyertai MIHAS 2022.
Antara pempamer yang menyertai MIHAS 2022.

Secara keseluruhan, lebih 150 sku produk usahawan MAFI terlibat di ekspo ini yang terdiri daripada produk agromakanan, produk kesihatan dan aplikasi e-dagang.

Antara produk yang diberi fokus dan bakal mendapat permintaan tinggi semasa MIHAS adalah biskut tinggi fiber, minuman sarang burung, kapsul kesihatan, biskut coklat oat, seri kaya madu gula melaka dan sebagainya.