Kelantan negeri terendah derma organ di Malaysia

Dr Izani (kiri) dan Dr Zaini (kanan) pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.
Dr Izani (kiri) dan Dr Zaini (kanan) pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan mencatatkan bilangan penderma organ terendah di negara ini apabila hanya tiga individu tampil berbuat demikian sejak 2006 hingga Ogos lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, faktor kesedaran masyarakat terhadap perkara ini masih rendah terutamanya individu beragama Islam dilihat menjadi salah satu penyumbang kepada situasi tersebut.

"Kebanyakan orang Islam masih mempunyai salah faham berkaitan dengan isu tersebut dan antaranya adalah aktiviti pendermaan boleh menyeksa mayat, kerisauan jika bangkit di padang mahsyar kelak jasad penderma akan tidak sempurna.

"Bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 1970 memutuskan bahawa pendermaan organ dan tisu adalah harus," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Kelantan pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin.

Beliau berkata, pandangan tersebut sekadar salah faham kerana pendermaan organ akan mengelakkan mudarat yang lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Bagaimanapun, menurutnya, seramai 12,946 individu sudah berikrar untuk mendermakan organ apabila mereka meninggal dunia kelak.

Dr Izani berkata, berdasarkan statistik, Malaysia merupakan negara yang terendah mempunyai bilangan penderma organ di dunia iaitu 774 orang serta pengikrar seramai 515,530 sejak 1997 hingga kini.

Artikel Berkaitan:

"Situasi ketika ini terdapat permintaan tinggi melibatkan penggunaan organ namun bekalannya rendah.

"Sehingga Mac 2022 terdapat seramai 4,664 pesakit yang menunggu di mana sebanyak 4,651 pesakit adalah untuk penerimaan buah pinggang selebihnya hati dan jantung," jelas beliau.

Beliau berkata, kerajaan akan mempergiatkan kempen dengan kerjasama semua agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma organ.