Semarak rasa cinta negara melalui kibaran Jalur Gemilang

Zamri (tengah, baris kedua) bersama penduduk Pulau Ketam, di sini mengibarkan Jalur Gemilang dalam program Semarak Hari Malaysia Bersama Komuniti Pulau Ketam, di sini.
Zamri (tengah, baris kedua) bersama penduduk Pulau Ketam, di sini mengibarkan Jalur Gemilang dalam program Semarak Hari Malaysia Bersama Komuniti Pulau Ketam, di sini.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Rasa cinta dan sayang kepada tanah air boleh dipupuk dalam diri rakyat Malaysia semudah mengibarkan Jalur Gemilang.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Zamri Misman berkata, Program Semarak Hari Malaysia Bersama Komuniti Pulau Ketam, di sini disambut meriah dalam suasana berbilang kaum.

Menurutnya, program yang dilaksanakan di Pulau Ketam di sini buat pertama kali bertujuan bagi mengukuhkan semangat cintakan tanah air.

"Bagaimana kita boleh tunjukkan rasa sayang kita kepada negara? Ia semudah mengibarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.

"Bersesuaian dengan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', Pulau Ketam terpilih berbanding ribuan lokasi di Selangor untuk penganjuran program ini.

"Kita sama-sama menjaga keselamatan negara ini dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa sebarang aktiviti salah dan jenayah. Ini kerana, keselamatan negara adalah tanggungjawab kita bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan di Pulau Ketam, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Pengarah Keselamatan Negeri MKN Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan berkata, kira-kira 1,200 Jalur Gemilang pelbagai dan 100 bendera Selangor turut diagihkan kepada penduduk di pulau berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, acara berkenaan akan terus dilaksanakan di lokasi-lokasi lain sehingga menjelang sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

"Ramai penduduk turut sama dalam acara ini dan ia merupakan manifestasi bahawa walaupun masyarakat Malaysia berbilang kaum tapi tetap sayang dan utamakan negara.

"Kita merangka beberapa program yang berteraskan kemasyarakatan dan semangat cintakan negara di tempat lain di Selangor bukan sahaja di Pulau Ketam di sini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Kampung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bagan, Pulau Ketam, Chua Kim Lin, berasa bangga dan gembira apabila kawasannya terpilih sebagai lokasi acara tersebut diadakan.

"Saya rasa bangga kerana dipilih sebagai lokasi untuk menyambut hari kebangsaan.

"Saya sangat gembira kerana diberi peluang untuk menyertai acara ini," katanya.