Final Piala FA: Penyokong TFC hasilkan terendak istimewa

Ahli Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC mempamerkan kreativiti dengan menghias terendak pelbagai corak beridentitikan pasukan hitam putih untuk dipakai semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2022. - Foto Bernama
Ahli Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC mempamerkan kreativiti dengan menghias terendak pelbagai corak beridentitikan pasukan hitam putih untuk dipakai semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala FA 2022. - Foto Bernama
A
A
A
BAHANG aksi final Piala FA 2022 yang hanya berbaki dua hari semakin terasa apabila penyokong Terengganu FC (TFC) semakin ghairah melakukan persiapan.

Selain kain rentang yang memaparkan kata-kata semangat, penyokong skuad Penyu turut mempamerkan kreativiti dengan menghias terendak pelbagai corak beridentitikan pasukan hitam putih untuk dipakai ketika menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC, Mohd Isa Che Ariffin berkata, sebagai kelab penyokong yang setia, pihaknya sanggup membelanjakan wang sendiri demi menunjukkan sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.



"Kita ada lebih kurang 40 orang termasuk 'Batik Boys dan Batik Girls' yang akan memakai kain batik dan terendak pada perlawanan akhir di stadium itu nanti.



"Biar berhabis tenaga dan wang ringgit tidak mengapa, yang penting kami dapat menzahirkan sokongan moral kepada pasukan tercinta yang berjaya menempah tempat ke final Piala FA selepas 11 tahun," katanya ketika ditemui pada program persiapan ke Final FA oleh Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu FC di sini pada Khamis.

Mohd Isa Che Ariffin. - Foto Bernama
Mohd Isa Che Ariffin. - Foto Bernama



Mohd Isa berkata, hampir 4,000 penyokong daripada pelbagai persatuan dan kelab bola sepak seluruh negeri dijangka ke Kuala Lumpur mulai esok menaiki kira-kira 100 bas.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk bilangan penyokong yang pergi ke stadium dengan kenderaan persendirian termasuk konvoi kereta dan motosikal.

"Mengikut maklumat yang saya terima daripada beberapa kelab penyokong bola sepak negeri, ada kira-kira 100 bas yang akan bergerak ke Kuala Lumpur esok.

Artikel Berkaitan:


"Ini adalah pengorbanan murni kami buat TFC. Oleh itu, kami amat berharap supaya pemain dapat bermain bersungguh-sungguh dan merealisasikan impian rakyat Terengganu untuk membawa pulang piala yang diidam-idamkan," katanya.- Bernama