RM220 juta untuk projek banjir di Meru

Mohd Fakhrulrazi
Mohd Fakhrulrazi
A
A
A

KLANG - Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Selangor menerima peruntukan sebanyak RM220 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan beberapa projek penyelesaian banjir di Meru di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, projek tersebut meliputi pembangunan dan naik taraf pam kunci air dan kolam takungan air di beberapa kawasan dalam daerah berkenaan.

Menurutnya, projek tersebut akan mula dilaksanakan bermula awal Januari tahun hadapan dan dijangka selesai dalam tempoh lima tahun.

"Bagaimanapun pada masa ini, pembersihan sistem perparitan akan dibuat dengan kadar segera bagi persiapan jangka pendek untuk berhadapan banjir yg dijangka berlaku pada hujung November depan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Fakhrulrazi berkata, sebanyak RM20 juta turut diperuntukkan untuk projek fasa pertama mendalamkan kolam tadahan air di Kampung Budiman dan Sungai Bakul yang bermula pada bulan ini.

Ujarnya, projek fasa kedua pula melibatkan pembinaan kolam tadahan baru berdekatan tapak perkuburan kaum Cina di sini dan berhampiran Sekolah Kebangsaan Meru 2 bermula bulan sama dan dijangka siap pada tahun 2024.

"Kita tidak boleh laksanakan banyak projek dalam satu masa kerana jika banjir berlaku, lebih banyak kerosakan akan berlaku. Jadi kita siapkan ikut fasa," katanya.

Artikel Berkaitan: