Hakim tarik diri dengar rayuan saman Azeez terhadap Guan Eng

LIM GUAN ENG dan AZEEZ RAHIM
LIM GUAN ENG dan AZEEZ RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menarik diri daripada mendengar rayuan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak samannya terhadap Lim Guan Eng.

Saman itu berkaitan pembinaan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Hakim Vazeer Alam, yang mengetuai panel tiga hakim berkata, beliau memutuskan untuk menarik diri daripada mendengar rayuan itu kerana beliau mempunyai kaitan dengan pihak-pihak terbabit semasa beliau dalam bidang guaman.

"Oleh itu, kami menangguhkan perbicaraan hari ini ke tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian oleh pendaftar," kata hakim itu pada permulaan prosiding yang dijalankan secara maya.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Seri Mariana Yahya.

Pada Khamis, mahkamah dijadual mendengar rayuan Ahli Parlimen Baling itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Disember 2020, yang menolak samannya terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Peguam Datuk Porres Royan mewakili Abdul Azeez manakala Guan Eng diwakili N Mureli pada prosiding pada Khamis.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Guan Eng, bekas Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Februari 2018 dan dalam satu majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut itu.

Artikel Berkaitan:

Abdul Azeez mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas dan diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik serta akhbar-akhbar tempatan.

Beliau memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan. - Bernama