Sasar nilai jualan francais negara RM22.66 bilion pada 2025

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Nilai jualan industri francais negara disasar meningkat daripada RM14.65 bilion pada tahun 2020 kepada RM22.66 bilion menjelang tahun 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, industri francais negara telah berkembang pesat dengan sebanyak 1,149 syarikat francaisor telah didaftarkan di bawah Akta Francais 1998.

"Bilangan outlet yang telah dibuka di dalam negara pada tahun 2021 adalah sebanyak 13,779, peningkatan sebanyak 47 peratus daripada tahun 2020.



"Hampir 49,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan pada tahun 2021 dan saya jangkakan lebih banyak lagi peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan menerusi peningkatan bilangan syarikat francais di dalam negara,” katanya ketika melancarkan Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia ke-29 (FIM) 2022 bertemakan "Rebuilding Growth, Spurring Excellence” pada Khamis.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perdana Menteri juga berkata, jenama Francais Malaysia telah berkembang sebagai jenama terkemuka di seluruh dunia, dengan lebih dari 68 jenama kini berada di 74 buah negara.

Ekosistem francais adalah amat dinamik dan sering terdedah kepada perubahan landskap ekonomi dan sosial global dan antara yang tidak dapat dinafikan adalah perubahan mata wang asing, persaingan harga, perundangan dan lain-lain, jelasnya.

Ismail Sabri menambah, negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menambahbaik bidang francais tempatan bagi menjamin kelangsungan dan kestabilan perniagaan terutamanya pada waktu pandemik Covid-19 dan inflasi yang melanda seluruh negara.

Usaha membangunkan mikro francais pula kata beliau, dilaksana untuk meningkatkan tahap sosioekonomi golongan B40 ke M40 dan seterusnya mencetuskan minat untuk menceburi industri francais yang dilaksanakan menerusi Program Francais Mikro dan Mampu Milik (F3M).

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, FIM 2022 yang dianjurkan bermula hari ini hingga 10 September 2022 diiktiraf oleh Majlis Francais Dunia (WFC) dan Persekutuan Francais Asia Pasifik (AFPC) serta mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan industri francais di peringkat antarabangsa.
Artikel Berkaitan:


Ekspo itu melibatkan 91 pempamer dari sembilan negara dengan 26 peratus dari mereka adalah pempamer antarabangsa dengan 150 ruang pameran, termasuk Malaysia.

Ismail Sabri berkata, ekspo pada tahun ini dijangka mencatat 14,000 kunjungan dengan nilai potensi pelaburan sebanyak RM450 juta, suatu peningkatan berbanding 12,000 kunjungan dan RM121 juta nilai potensi pelaburan dicapai pada ekspo tahun lepas. - Bernama