Eksport barangan halal RM36.6 bilion tahun lalu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Eksport barangan halal pada 2021 meningkat 19 peratus kepada RM36.30 bilion berbanding RM30.50 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata, Malaysia merupakan antara pengeluar utama barangan halal di pasaran antarabangsa.

"Industi halal dijangka terus berkembang di rantau Asia Pasifik susulan daripada ratifikasi Malaysia ke atas perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac, 2022,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18, di sini pada Khamis.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia yang merangkumi 15 negara dengan jumlah populasi melebihi 2.3 bilion atau sekitar satu pertiga daripada jumlah populasi dunia, katanya.

Ban Hong berkata, syarat perlu memiliki Sijil Tempasal untuk menikmati keistimewaan RCEP, seterusnya menarik bukan sahaja perdagangan, malah pelaburan di negara-negara anggota.

"Keahlian negara-negara besar serta negara maju dalam RCEP iaitu China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand serta ASEAN, menyediakan peluang keemasan dalam mempelbagaikan potensi halal,” katanya.

Sementara itu, Ban Hong berkata, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) secara fizikal dan maya menghubungkan hampir 400 pembeli dari 46 negara serta 532 syarikat pengeksport Malaysia setakat ini.

"Format hibrid ini dijangkakan dapat menjana jualan eksport yang lebih memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Program INSP secara maya akan dilanjutkan sehingga 15 Nov depan," katanya.

Mengenai MIHAS 2022, Ban Hong berkata, jumlah pempamer Malaysia mencatatkan peningkatan ketara termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, dengan jumlah pempamer tempatan menokok 411 peratus tahun ke tahun.
Artikel Berkaitan:


"Malah, ramai usahawan yang lebih muda. Sebagai contoh, 15 pempamer di Pavilion Pahang berusia di bawah 45 tahun," katanya.