Kemenangan Bayern memang wajar

Penyerang Bayern, Le Roy Sane menjaringkan gol pertama Bayern pada aksi Liga Juara-Juara di San Siro pada Khamis. - Foto EPA
Penyerang Bayern, Le Roy Sane menjaringkan gol pertama Bayern pada aksi Liga Juara-Juara di San Siro pada Khamis. - Foto EPA
A
A
A

KEMENANGAN 2-0 ke atas Inter Milan pada aksi Liga Juara-Juara Kumpulan C di San Siro pada Khamis disifatkan sebagai satu kemenangan yang sewajarnya dimiliki gergasi Bundesliga berkenaan.

Pendapat itu ditegaskan pengendali Bayern, Julian Nagelsmann yang nyata gembira dengan aksi yang dipamerkan skuad kendaliannya pada aksi sulung Kumpulan C itu.

“Ya, saya benar-benar gembira dengan aksi yang dipamerkan pemain hari ini (Khamis). Mereka dilihat mempamerkan intensiti tinggi di sepanjang 90 minit.

“Lagi pun, meraih tiga mata pada aksi sulung Liga Juara-Juara sememangnya sesuatu yang bakal memberikan impak positif kepada mana-mana pasukan bagi mengharungi perlawanan yang seterusnya.

“Bagaimanapun, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pasukan ini bagi mengharungi perlawanan-perlawanan seterusnya dan mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara kali ini,” katanya.

Pada aksi Kumpulan C itu, penyerang Bayern, Leroy Sane membuka jaringan pada minit ke-25 sebelum pemain Inter Milan, Danilo D’Ambrosio menjaringkan gol sendiri pada minit ke-66.

Sementara itu, Nagelsmann berharap agar kesebelasan Bayern tidak terlalu dibuai dengan kejayaan berkenaan kerana masih ada beberapa perlawanan yang perlu diharungi selepas ini.

Malah katanya, masih banyak ‘kerja’ yang perlu dilakukan bagi meneruskan momentum kemenangan pasukan.

Artikel Berkaitan:

“Kita memang gembira dan meraikan kemenangan yang dicapai, tetapi dalam masa sama kita juga perlu bersedia bagi mengharungi perlawanan seterusnya.

“Paling penting adalah untuk kita kekalkan momentum kemenangan yang dimiliki ketika ini,” katanya.