Klopp terbuka terima kekalahan

Penyerang Liverpool, Luis Diaz (kiri) cuba melepasi pertahanan Napoli, Giovanni Simeone pada aksi Liga Juara-Juara di Naples pada Khamis. - Foto EPA
Penyerang Liverpool, Luis Diaz (kiri) cuba melepasi pertahanan Napoli, Giovanni Simeone pada aksi Liga Juara-Juara di Naples pada Khamis. - Foto EPA
A
A
A

[DIKEMAS KINI] BIARPUN sukar menerima kekalahan 1-4 ketika berdepan Napoli pada aksi sulung Kumpulan A Liga Juara-Juara di Stadio Diego Armando Maradona pada Khamis, namun pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tetap menerimanya dengan hati terbuka.

Menurut Klopp, kekalahan besar itu sememangnya sukar untuk dijelaskan, tetapi secara keseluruhannya ia berpunca daripada aksi terbaik yang dipamerkan Napoli di sepanjang perlawanan berkenaan.

“Memang sukar menerima kekalahan ini dan sudah pasti anda juga bersetuju apabila menyaksikan perlawanan ini.

“Perlawanan ini dimulakan dengan dua sepakan penalti; satu berjaya dijaringkan manakala satu lagi berjaya diselamatkan penjaga gol.

“Apa pun bagi saya, Napoli telah beraksi cemerlang berbanding kita. Mungkin itu antara alasan bagi menjelaskan mengenai kekalahan kali ini,” katanya.

Liverpool yang juga merupakan finalis musim lalu ketinggalan seawal minit kelima apabila Piotr Zielinsky menyempurnakan sepakan penalti, sebelum Andre-Frank Zambo Anguissa menjaringkan gol kedua pada minit ke-31 dan pemain gantian Giovanni Siemone mudah menolak masuk gol keempat pada minit ke-44.

Zielinsky kemudiannya menjaringkan gol keempat yang juga gol kedua peribadinya pada minit ke-47 sebelum Luis Diaz menjaringkan gol saguhati buat The Reds pada minit ke-49.

Sementara itu, Klopp turut memohon maaf kepada segelintir penyokong The Reds yang hadir ke Naples bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, banyak perkara yang perlu dilakukan seperti ‘mencipta semula’ pasukan berkenaan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Wolverhampton Wanderers (Wolves) di Anfield pada Sabtu.

“Kekalahan ini mungkin menjadi bahan jenaka apabila kita beraksi berdepan Wolves, Sabtu ini.

“Apa pun, sehingga kini saya masih belum ada jawapan jika ditanya lebih lanjut mengenai kekalahan itu,” katanya.