Isytihar aset mampu nilai ahli politik telus, berintegriti

BADLISHAH
BADLISHAH
A
A
A

SHAH ALAM – Langkah deklarasi aset kepada pengetahuan umum melibatkan setiap ahli parti politik berpotensi dijadikan calon pilihan raya membolehkan orang ramai atau rakyat menilai individu berkenaan seorang yang telus, berintegriti dan bebas daripada rasuah.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, dengan dunia kini yang bersifat terbuka atau tanpa sempadan, setiap orang boleh menyemak kedudukan kewangan, mempunyai proksi atau ahli parti politik memiliki akaun lain.

“Kalau orang itu betul-betul kaya tidak mengapa. Dia kaya sebab usaha dan perniagaannya kerana kita tahu ada ahli perniagaan yang menjadi ahli politik.

“Tetapi kalau dahulu dia bukan seorang yang kaya, bukan ahli perniagaan, tiba-tiba menjadi kaya itu menjadi tanda tanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menyarankan agar setiap parti politik perlu meminta ahli mereka terutama yang berpotensi dijadikan calon dalam pilihan raya membuat deklarasi aset kepada pengetahuan umum.

Fahmi berkata, tindakan tersebut dapat membuktikan bahawa tidak ada dalam kalangan mereka terpalit dengan jenayah seperti korupsi dan penyalahgunaan wang yang boleh membawa kepada pendakwaan pihak mahkamah.

Tambah Badlishah, deklarasi aset ini penting sebagai satu prosedur operasi standard (SOP) walaupun sesebuah kerajaan itu berubah.

“Memang penting untuk dibuat sebagai satu amalan SOP. Sesiapa yang mahu bertanding dia kena isytihar asetnya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berpandangan di negara-negara maju mempunyai badan pemantau mengenai perkara seperti ini.

“Kalau orang itu hidup melangkaui kemampuan juga sudah ada tanda tanya. Kita nak masyarakat atau rakyat kita terdidik untuk menyoal perkara-perkara sebegini bagi memastikan pemimpin politik kita itu betul-betul orang yang jujur, tidak mengambil kesempatan daripada jawatan dan hidup dalam kemampuannya,” katanya.