Ibu nekad lawan harimau demi selamatkan anak

Choudhary mengalami kecederaan akibat bergelut dengan seekor harimau dan dirawat di hospital. - Foto: Agensi
Choudhary mengalami kecederaan akibat bergelut dengan seekor harimau dan dirawat di hospital. - Foto: Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Seorang wanita di India nekad melawan seekor harimau tanpa menggunakan sebarang senjata demi untuk menyelamatkan anaknya daripada dibaham haiwan tersebut.

Archana Choudhary bersama bayi lelakinya berusia 15 bulan keluar dari rumah mereka di Madhya Pradesh sebelum mamalia sesat itu menerkam mereka ketika insiden pada Ahad lalu.

"Berlaku pergelutan antara harimau itu dan wanita berkenaan setelah ia cuba membaham anaknya.

"Haiwan itu juga cuba untuk melarikan bayi tersebut, namun jeritan ibunya telah didengari penduduk kampung yang kemudiannya bertindak membantu mereka," ujar pegawai tempatan, Sanjeev Shrivastava.

Harimau itu akhirnya menyelinap ke dalam hutan berhampiran.

Difahamkan, Choudhary yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital dan keadaan wanita itu bersama bayi lelakinya dilaporkan semakin baik.

Sementara itu, The Times of India melaporkan operasi menjejaki haiwan itu telah dilancarkan malah penduduk kampung sekitar turut dinasihatkan supaya tidak keluar rumah pada waktu malam sebagai langkah berjaga-jaga.

Konflik manusia-haiwan dikatakan semakin meningkat di seluruh Asia Selatan akibat aktiviti penebangan hutan secara berleluasa untuk projek pembangunan bandar.

Artikel Berkaitan:

Data kerajaan menunjukkan hampir 225 terkorban di New Delhi akibat diserang harimau antara 2014 dan 2019. - AFP