Wanita diburu polis kes 'Savingbywaniey' tampil bantu siasatan

Gambar kecil: Shamsudin
Gambar kecil: Shamsudin
A
A
A

BALING - Seorang wanita berusia 23 tahun yang diburu bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan wang yang tidak wujud dikenali sebagai 'Savingbywaniey' membabitkan RM1.2 juta ditahan polis pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, wanita berkenaan ditahan pada 4 petang ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Baling secara sukarela.

Menurutnya, suspek akan dimohon reman pada Khamis di Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk tujuan siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Dalam kejadian awal Jun lalu, seorang mangsa yang merupakan pembantu kedai berusia 30 tahun telah membuat laporan polis dan satu kertas siasatan telah dibuka.

“Mangsa tertarik dengan satu iklan di laman sosial Facebook atas nama 'Eypolwaniey' yang mengiklankan mengenai pelaburan dinamakan 'Savingbywaniey'. Tanpa berfikir panjang, mangsa setuju menyertai pelaburan dengan modal RM6,000 dan dijanjikan mendapat pulangan RM12,000 dalam dua bulan, iaitu pada 15 Ogos,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Rabu.

Shamsudin berkata, mangsa kemudian telah membuat transaksi secara dalam talian berjumlah RM6,000 ke akaun yang diberikan suspek.

“Mangsa juga bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah RM4,000 dan RM2,000 dengan harapan memperoleh keuntungan sebanyak RM8,000 dan RM5,000.

"Pada tarikh yang dijanjikan untuk mendapat keuntungan, mangsa mendapati wang modal dan keuntungan tidak diperolehi dan suspek telah menghilangkan diri,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, mangsa telah membuat laporan polis pada 19 Ogos lalu dan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

“Mana-mana individu yang melakukan penipuan dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan dikenakan denda,” ujarnya lagi.

Pada 25 Ogos lalu, Shamsudin memberitahu, terdapat 33 laporan telah dibuat membabitkan wanita terbabit.

Selain mengesan suspek, polis sebelum ini telah menahan dua wanita berusia 30 tahun dengan seorang daripadanya sarat mengandung pada 5.30 petang 24 Ogos bagi membantu siasatan kes berkenaan.