Empat tokan dadah dicekup

Chong Chern (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket.
Chong Chern (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat individu dalam tiga serbuan di Taman Halaman Indah, Jawi dan Kondominium Cassia di Butterworth pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Lee Chong Chern berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis SPS.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Taman Halaman Indah, Jawi menahan seorang lelaki dan wanita berusia 33 tahun serta merampas dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 909.0 gram bernilai RM10,000 dan syabu seberat dua gram bernilai RM200.

"Susulan daripada tangkapan itu membawa kepada serbuan di Kondominium Cassia di Butterworth dan menangkap seorang lagi lelaki berusia 51 tahun dan wanita berusia 29 tahun.

"Pemeriksaan dilakukan menemukan tujuh ketulan mampat dadah jenis ganja seberat 6,910 gram bernilai RM17,500 dan syabu seberat 0.2 gram bernilai RM20," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPS di sini, pada Rabu.

Chong Chern berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini dan dijual untuk pasaran tempatan.

Katanya, selain dadah pihaknya turut merampas sebuah kenderaan milik suspek bernilai RM50,000 menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM77,720.

"Kesemua suspek ditangkap mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah dan narkotik. Kesemuanya kini direman selama enam hari untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati sekiranya disabitkan kesalahan," katanya.