X

Kindly register in order to view this article
!

Ada pihak sengaja tak mahu bayar cukai

Sistem e-filling kini lebih memudahkan orang ramai menghantar borang cukai pendapatan mereka melalui online. (Gambar kecil: Bahyah)
A
A

SHAH ALAM - Cukai merupakan salah satu sumber perolehan utama kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek prasarana, pembangunan, perkhidmatan dan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat serta negara.

Pada masa sama membantu kerajaan merangka bajet negara berdasarkan jumlah cukai yang diperoleh, sekali gus menyalurkan pelbagai subsidi atau insentif kepada golongan berpendapatan rendah.

Perkara tersebut diakui penganalisis ekonomi, Dr Bahyah Baba yang turut memberitahu bahawa cukai lazimnya dikenakan kepada individu dan syarikat yang layak sahaja.

Bagaimanapun katanya, masih ada pihak yang gagal melunaskan tanggungjawab itu sehingga sanggup menggunakan pelbagai cara untuk melarikan diri dari membayar cukai.

"Biasanya, golongan yang ingkar membayar cukai bukan disebabkan tidak berkemampuan tetapi dipercayai sengaja berbuat demikian untuk menjimatkan duit dan mengaut lebih banyak keuntungan.

ARTIKEL BERKAITAN: LHDN akan kejar menteri, bekas menteri tak bayar cukai

"Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah ini terus melarat, diharapkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bertindak lebih tegas terhadap mereka yang gagal membayar cukai," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menegaskan tiada siapa akan dikecualikan daripada membayar cukai termasuk barisan menteri PH mahupun bekas menteri di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Bahyah berkata, selain siasatan pihak LHDN sewajarnya mengenakan penalti maksimum kepada pembayar cukai yang ingkar.

"Sebagai contoh, LHDN meletakkan denda bayaran dua kali ganda daripada jumlah cukai yang sepatutnya mereka lunaskan.

"Seharusnya, rakyat tidak harus memandang enteng isu pembayaran cukai kerana ia akan menjejaskan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara," tegasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus