Pasangan kekasih ditemui mati dalam Perodua Kancil

Pasangan kekasih ditemui maut dalam kereta Perodua Kancil di kawasan Japerun, Ayer Limau, Lubok Cina pada Rabu.
Pasangan kekasih ditemui maut dalam kereta Perodua Kancil di kawasan Japerun, Ayer Limau, Lubok Cina pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Seorang pemuda dan seorang pelajar perempuan dipercayai pasangan kekasih ditemui mati dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil di kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau, Lubok Cina di sini pada Rabu.

Mangsa lelaki berusia 20 tahun dan pasangannya berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah, berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan pada polis kira-kira jam 9.25 pagi berhubung penemuan kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di kenderaan ditutupi kain kanvas berwarna kelabu.

Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan mendapati mangsa lelaki ditemui di tempat duduk pemandu dan kekasihnya di tempat duduk sebelah pemandu.

Kata Razali, leher mangsa perempuan terlentok di bahu kiri lelaki yang baharu menamatkan persekolahan di Kelantan.

"Pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kenderaan tersebut milik bapa lelaki terbabit.

"Besar kemungkinan mereka dipercayai terhidu gas karbon monoksida memandangkan pendingin hawa dalam keadaan terbuka dan kenderaan tersebut juga telah kehabisan minyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu turut menemui botol minuman dan telefon bimbit mangsa.

"Siasatan juga mendapati kedua-dua mangsa berasal dari daerah ini termasuk mangsa perempuan bersekolah di sekolah menengah di di Lubok China.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut memandangkan siasatan awal tidak menemui sebarang petunjuk kepada unsur jenayah," jelasnya.