Pelanggan masih cari telur penyu

Rakiah sedang melayan pelanggan yang datang membeli keropok lekor di gerainya di sini pada Rabu.
Rakiah sedang melayan pelanggan yang datang membeli keropok lekor di gerainya di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Walaupun telur penyu sudah diharamkan penjualannya di Terengganu bermula 1 Jun lalu, namun ia masih dicari pelanggan khususnya peminat telur eksotik tersebut.

Seorang peniaga Pasar Besar Kedai Payang, Rakiah Abdullah, 61, berkata, ada pengunjung tempatan dan luar negeri masih bertanyakan telur penyu walaupun sudah lebih tiga bulan tidak dijual di negeri ini.

Rakiah
Rakiah

"Ada pelanggan yang datang dari Kelantan dan Pahang mahu membeli telur penyu. Rata-rata mereka beri alasan ingin jadikan telur penyu sebagai ubat dan memenuhi selera ibu mengandung.

"Namun mereka akur selepas saya maklumkan telur penyu kini tidak boleh dijual kerana ia menyalahi undang-undang," katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang di sini pada Rabu.

Seorang lagi peniaga, Hazwani Mat Zin, 35, yang turut mengakui perkara tersebut berkata, ada pelanggan tidak mengetahui pengharaman jualan telur penyu.

Hazwani
Hazwani

"Ramai tidak tahu telur penyu dah tidak boleh dijual. Saya memainkan peranan menerangkan perkara itu kepada pelanggan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, telur penyu mempunyai peminatnya tersendiri dan keadaan itu menyebabkan dia mampu menjual hampir 100 biji sehari sebelum undang-undang larangan penjualan dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.

"Larangan ini tidak memberi impak besar kerana saya turut menjual pelbagai produk lain seperti keropok, kacang, dodol dan serunding," katanya.

Telur penyu sudah diharamkan penjualannya di Terengganu bermula 1 Jun lalu. - Gambar hiasan.
Telur penyu sudah diharamkan penjualannya di Terengganu bermula 1 Jun lalu. - Gambar hiasan.

Ditanya tentang jualan sempena musim cuti sekolah apabila Pasar Besar Kedai Payang penuh sesak dengan kehadiran pengunjung, Hazwani meluahkan rasa syukur apabila jualannya meningkat tiga kali ganda berbanding hari biasa.

"Antara barang paling laris adalah keropok keping yang mampu dijual sehingga 150 kilogram sehari," katanya.

Pada November tahun lepas, kerajaan Terengganu telah meluluskan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri untuk mengelakkan kepupusan hidupan marin yang semakin terancam itu.

Pindaan itu antara lain akan mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan penyu dengan menetapkan kadar denda yang lebih tinggi terhadap kesalahan kacau ganggu dan membunuh penyu iaitu RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara tidak kurang setahun atau kedua-duanya sekali.