Nafuzi sukar pilih skuad utama ke final Piala FA

Nafuzi akui sukar menentukan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada Sabtu ini. - Foto Terengganu FC
Nafuzi akui sukar menentukan kesebelasan utama yang akan diturunkan pada Sabtu ini. - Foto Terengganu FC
A
A
A

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui sukar untuk menentukan kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Ia memandangkan semua pemain sedang berada di tahap prestasi terbaik dan bersedia untuk diturunkan pada perlawanan menentang pasukan gergasi bola sepak negara, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Malah menurut Nafuzi, hubungan rapat dengan anak buahnya juga menjadikan beliau serba salah untuk membuat pilihan yang tidak akan mengecewakan mana-mana pemain yang sebahagian besarnya belum mempunyai pengalaman beraksi di pentas perlawanan akhir.

"Sebagai bekas pemain, saya amat memahami keghairahan dan keinginan mereka untuk beraksi di pentas akhir. Apatah lagi peluang ini hadir hanya selepas tempoh 11 tahun.

"Ini antara situasi yang paling sukar untuk saya hadapi, tetapi keputusan perlu dibuat walaupun berat. Saya harap semua pemain terima dengan hati terbuka dan beri sokongan kepada rakan sepasukan untuk kejayaan bersama," katanya ketika ditemui di sesi latihan di Gong Badak malam tadi.

Nafuzi berkata, untuk perlawanan akhir, beliau berkemungkinan besar tidak akan melakukan banyak rombakan pada skuad utama yang sering diturunkan pada perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, skuad kejurulatihan masih menguji beberapa kombinasi baharu pemain untuk disesuaikan dengan corak perlawanan menentang JDT.

"Untuk pemain import, kita ada enam pemain. Seorang terpaksa dikorbankan untuk memenuhi peraturan atas padang.

Artikel Berkaitan:

"Pemilihan ini tentunya sukar, tetapi saya anggap positif kerana akan ada banyak pilihan pemain untuk berhadapan skuad Harimau Selatan yang bukan calang-calang," katanya. - Bernama