Teleskop James Webb rakam imej Nebula Tarantula

Dikenali sebagai 30 Doradus, Nebula Tarantula terletak sejauh 161,000 tahun cahaya dari bumi. - Foto NASA/AF
Dikenali sebagai 30 Doradus, Nebula Tarantula terletak sejauh 161,000 tahun cahaya dari bumi. - Foto NASA/AF
A
A
A

WASHINGTON - Gambar sebuah tapak pembentukan bintang yang dikenali sebagai Tarantula Nebula berjaya dirakamkan oleh Teleskop James Webb milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), kata agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu pada Selasa.

Ia juga dikenali secara rasmi sebagai 30 Doradus dan merupakan kawasan angkasa lepas yang mempunyai ciri-ciri seperti berdebu dan menyerupai kaki labah-labah yang berbulu.

Ia dapat dilihat buat kali pertama hasil daripada instrumen inframerah resolusi tinggi teleskop James Webb di angkasa lepas.

Tarantula Nebula terletak sejauh 161,000 tahun cahaya dalam galaksi Awan Besar Magellan, ia adalah contoh yang mudah dilihat bagi tempoh penciptaan angkasa lepas yang berkembang pesat.

Nebula merupakan objek alam semesta berupa kumpulan awan gas, debu, plasma dan partikel alam semesta lainnya.

Tarantula pula ialah nama haiwan labah-labah.

Teleskop James Webb membolehkan para saintis untuk melihat galaksi yang lebih jauh dari bumi.

Beroperasi sejak Julai, James Webb ialah teleskop angkasa lepas yang paling canggih pernah dibina bernilai AS$10 bilion (RM45.02 bilion) dengan ahli-ahli astronomi yakin ia akan menandakan satu era penemuan baharu di alam semesta. - Agensi

Artikel Berkaitan: