'Kerusi terbang' gemparkan sesi debat

Anggota EFF dilihat membaling kerusi dan menumbuk lawan mereka.
A
A

CAPE TOWN - AFRIKA SELATAN. Sebuah sesi debat disiarkan secara langsung oleh stesen TV di Afrika Selatan bertukar kecoh selepas insiden 'kerusi terbang'.

Anggota Parti Pejuang Kebebasan Ekonomi (EFF) dilihat membaling kerusi plastik dan turut menumbuk lawan mereka ketika siaran langsung dari Hout Bay, pinggir bandar Capetown, semalam.

Bagaimanapun, tidak jelas apa yang mencetuskan kekecohan itu walaupun media melaporkan ia mungkin berpunca daripada sikap pilih kasih penyampai, Sakina Kamwendo. Sesi debat itu akhirnya terpaksa dibatalkan.

Afrika Selatan bakal mengadakan pilihan raya dalam tempoh sebulan dan EFF telah mencetuskan kontroversi atas polisi dan retorik berunsur perkauman mereka.

Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) yang dipimpin Presiden Jacob Zuma dijangka memenangi pilihan raya dengan margin sama seperti sebelum ini.

Kaji selidik dilakukan Ipsos meramalkan Perikatan Demokratik akan kehilangan beberapa kerusi dan berada di tempat kedua di belakang ANC. - Agensi