Nak cari kerja tetapi ‘dikerjakan’

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DITAWARKAN bekerja sebagai pegawai di luar negara dengan gaji lumayan namun sebenarnya ia godaan palsu semata-mata bagi memerangkap mangsanya.

Pemohon pekerjaan diiklankan di media sosial terbabit akhirnya akan diberi kerja yang menyalahi undang-undang malah ada antaranya dikurung dan tidak diberi gaji.

Bukan tidak pernah media melaporkan aktiviti licik si sindiket penipuan pekerjaan yang menawarkan kerja di luar negara, namun nampaknya masih ramai yang tidak sedar dan mengambil iktibar.

Kebanyakan sindiket memperdaya mangsa melalui iklan tawaran pekerjaan yang diiklankan di laman sosial Facebook, Instagram, Twitter dan aplikasi WhatsApp.

Mangsa yang menerima tawaran tersebut akhirnya diperdagangkan ke negara lain, dikurung dan dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian atas talian serta penipuan.

Ada juga sindiket yang menggunakan modus operandi menipu mangsa dengan meminta memasukkan sejumlah wang kononnya bagi kos pemprosesan permohonan visa.

Untuk meyakinkan mangsa, sindiket akan menghantar salinan dokumen palsu kepada mangsa seperti label visa, surat visa dan invois pembayaran cukai menggunakan kepala surat pihak berkuasa di negara berkenaan.

Pemohon pekerjaan yang terdesak dan gelap mata dengan gaji lumayan ditawarkan akhirnya akan menuruti syarat pihak sindiket dan memasukkan wang tanpa menyangka akan ditipu akhirnya.

Artikel Berkaitan:

Lebih malang lagi bukan RM100 atau RM200, mangsa kebanyakannya mengalami kerugian ribuan ringgit namun pekerjaan dihajati tidak diperolehi.

Sehingga April lalu, sebanyak 28 laporan polis dibuat membabitkan kerugian RM155,473 hanya untuk tawaran kerja palsu di Australia.

Itu belum masuk lagi kes-kes penipuan membabitkan tawaran kerja di negara lain yang berkemungkinan menjadikan pemohon gelap mata dan mudah terpedaya.

Hanya kerana nak mendapatkan gaji lumayan, akhirnya simpanan wang selama ini ‘hangus’ dan tidak akan kembali lagi.

Lebih sedih lagi jika ada yang menggadai harta benda untuk membayar kos ke luar negara, namun akhirnya berputih mata.

Duit habis, kerja tak adaKementerian Luar Negeri baru-baru ini juga dilapor memaklumkan kerajaan memandang serius isu rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di beberapa buah negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sehingga 2 September lalu, seramai 195 mangsa dilaporkan masih berada di luar negara termasuk 148 orang di Kemboja, Thailand (23), Laos (22) dan Myanmar (dua).

Penulis percaya, jumlah ini mungkin hanya untuk kes yang dilaporkan dan angkanya mungkin lebih kerana ada kes yang tidak dapat dilaporkan berikutan mangsa tidak mempunyai akses atau ‘dikawal rapi’ oleh pihak sindiket.

Lebih menyedihkan ada mangsa penipuan sindiket ini dilapor sudah meninggal dunia di luar negara tanpa diketahui ahli keluarga.

Pada 4 September lalu, media melaporkan sepasang suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui anaknya sudah pun meninggal dunia 11 Mei lalu di sebuah hospital berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Lebih menyedihkan apabila kedua-duanya dari Ipoh, Perak mendapat tahu anak sulung mereka menjadi mangsa penipuan kerja dan meninggal dunia dipercayai akibat didera pihak sindiket.

Anak mereka yang berusia 23 tahun dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.Ramai waris kepada mangsa menasihatkan rakyat negara ini supaya tidak tertipu dengan sindiket dan tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan sewajarnya jika terpedaya.

Individu atau waris mangsa perlu berhubung terus kementerian melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara melalui e-mel bkrm@kln.gov.my atau melaporkan secara terus di Bahagian Konsular, KLN bagi mendapatkan bantuan selanjutnya.

Apa pun penulis menasihatkan mereka yang mencari kerja tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan upah yang lumayan.

Jangan dek kerana rakus mencari kerja akhirnya diri sendiri yang ‘dikerjakan’.

*Nur Farhana Abdul Manan ialah Editor Pengisian Sinar Harian