Malaysia peroleh pelaburan Jepun bernilai RM9.3 bilion

Malaysia peroleh pelaburan bernilai RM9.3 bilion menerusi Misi Perdagangan serta Pelaburan (TIM) terbaharu ke Jepun. - Foto 123RF
Malaysia peroleh pelaburan bernilai RM9.3 bilion menerusi Misi Perdagangan serta Pelaburan (TIM) terbaharu ke Jepun. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia memperoleh pelaburan bernilai RM9.3 bilion menerusi Misi Perdagangan serta Pelaburan (TIM) terbaharu ke Jepun yang diketuai oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan, pelaburan itu merangkumi sektor strategik serta berpotensi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), penyelidikan dan pembangunan (R&D), biojisim, teknologi maklumat dan komunikasi, industri kimia dan makanan.

Antaranya projek pelaburan oleh Idemitsu Kosan Co Ltd dan Euglena Co Ltd serta projek pengembangan dan kepelbagaian pelaburan oleh Tosoh Corporation, NTT Corporation serta KOA Corporation.

"Pelaburan ini dijangka menjana peluang pekerjaan, peluang latihan kemahiran kepada pekerja tempatan selain menyumbang kepada pembangunan vendor tempatan.

"Tambahan lagi, RM300 juta potensi perdagangan diperoleh daripada TIM ini khusus untuk minyak sawit serta produk berkaitan minyak sawit, produk halal termasuk makanan dan minuman daripada Sumitomo Corporation serta ADEKA Corporation," katanya.

Jepun merupakan antara sumber pelaburan langsung asing (FDI) utama Malaysia daripada segi pelaksanaan projek perkilangan, dengan nilai pelaburan keseluruhan sebanyak US$688 juta (RM3.03 bilion) yang direkodkan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menurut MITI, Mohamed Azmin mengadakan mesyuarat dua hala yang sangat memuaskan membabitkan pelbagai spektrum dengan rakan sejawatannya, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun, Nishimura Yasutoshi yang baru dilantik.

"Sehubungan itu, kedua-dua menteri bertukar-tukar pandangan mengenai kesan limpahan serta pengganda strategik yang bakal dimanfaatkan daripada Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) termasuk Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik untuk Kemakmuran (IPEF).

Artikel Berkaitan:

"Berhubung memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Industri Pesawat yang dimeterai antara Malaysia dan Jepun, kedua-dua pihak telah menggariskan kerjasama untuk pertukaran maklumat bagi rantaian bekalan aeroangkasa, rangkaian perniagaan termasuk pembentukan Kumpulan Kerja Teknikal yang berdedikasi," katanya.

Mohamed Azmin turut menggariskan matlamat pembangunan mampan (SDG) Malaysia serta menegaskan komitmen untuk bekerjasama dengan syarikat dan industri Jepun bagi memastikan bekalan tenaga termasuk tenaga boleh diperbaharui yang stabil dengan bekerjasama rapat dengan syarikat utama Jepun untuk R&D dan tenaga hidrogen.

"Sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), misi ini menandakan penekanan yang lebih besar yang diberikan kepada agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di samping mempergiatkan fokus Malaysia ke arah sektor ekonomi digital, E&E, farmaseutikal, kimia dan aeroangkasa.

"Sehubungan itu, selain daripada pengimport yang berpotensi, Menteri Kanan juga bertemu dengan wakil-wakil syarikat terkemuka Jepun yang telah menyatakan minat untuk melabur atau mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia dalam sektor-sektor keutamaan ini," kata MITI.

Malaysia serta Jepun akan mengambil bahagian dalam penglibatan yang lebih besar untuk bekerjasama dalam pameran pembentangan di Forum Enjin Kobe 2022 menjelang 25 hingga 26 Okt depan. - Bernama