Kes mahkamah berprofil tinggi perlu jadi teladan: G25

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 berharap kes mahkamah berprofil tinggi yang melibatkan pemberian kontrak dan tender untuk kementerian dan jabatan kerajaan akan menjadi teladan kepada menteri kabinet dan penjawat awam.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, pembaziran serta penyelewengan akan berlaku sekiranya prosedur berkaitan kontrak dan tender tidak dipatuhi.

"Ini mengakibatkan impak kewangan yang besar kepada kerajaan dan ekonomi negara seterusnya tindakan tatatertib akan diambil, dan individu yang bertanggungjawab boleh dikenakan hukuman.

"Sebagai peraturan umum, perolehan kerajaan hendaklah dilaksanakan mengikut prosedur tender," kata kenyataan itu.

Jelas G25, walaupun Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling Perbendaharaan di bawah Akta Tatacara Kewangan 1957 (Disemak 1972) membenarkan pengecualian persaingan di dalam perolehan kerajaan, namun pihak yang bertanggungjawab mestilah mempunyai alasan yang kukuh untuk menjustifikasikan proses perolehan secara rundingan terus.

"Justifikasi untuk tidak mengikuti prosedur tender perlu didokumenkan dengan jelas oleh pegawai yang bertanggungjawab untuk memudahkan pemeriksaan dan pelaporan Jabatan Audit kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)," katanya.

Menurut G25 lagi, penjawat awam perlu diingatkan adalah tidak wajar bagi mereka untuk mengikut arahan menteri tanpa terlebih dahulu memastikan arahan tersebut mengikut Akta Tatacara Kewangan, Akta Kontrak Kerajaan 1949 dan Arahan Perbendaharaan.

"Ini kerana sekiranya audit dijalankan dan didapati terdapatnya perlanggaran prosedur, maka ketua setiausaha kementerian (KSU) dan mana-mana pegawai bawahannya yang menjalankan arahan menyalahi undang-undang, akan dipertanggungjawabkan atas pelanggaran prosedur itu.

Artikel Berkaitan:

"Seseorang KSU di sisi undang-undang, adalah diiktiraf sebagai pegawai pengawal bajet bagi setiap kementerian. Beliau dan pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan surcaj di bawah Akta Tatacara Kewangan bersabit dengan perbelanjaan yang tidak berjustifikasi di dalam pembekalan atau pembinaan fasiliti kerajaan.

"Alasan yang mereka hanya menurut perintah ketua atau pihak atasan tidak boleh diterima di sisi undang-undang," katanya.

Kumpulan itu juga menegaskan Perdana Menteri perlu mengetahui bahawa perolehan secara rundingan terus berkemungkinan besar akan mengundang amalan-amalan yang tidak diingini seperti pilih kasih, nepotisme dan rasuah.

"Para pelobi profesional juga akan mendekati keluarga menteri, untuk mendapatkan pilih kasih dan akses kepada menteri. Ini juga akan membuka ruang kepada pegawai-pegawai di pejabat menteri, seperti setiausaha dan pembantu khas, untuk mengambil kesempatan mendapatkan sebahagian dari wang itu.

"Oleh itu, G25 menyarankan agar kerajaan memperkenalkan pembaharuan dengan kadar segera dalam pengurusan kewangan di Kementerian Kewangan dan untuk operasi di kementerian-kementerian," kata kenyataan itu.