Pelajar lemas di air terjun Batu Berangkai

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar yang tiba membantu membawa keluar mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis. - Foto Ihsan Bomba Perak
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar yang tiba membantu membawa keluar mayat mangsa untuk diserahkan kepada pihak polis. - Foto Ihsan Bomba Perak
A
A
A

KAMPAR - Kegembiraan tiga sekawan bersama bekas guru berkelah bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas dalam kejadian di air terjun Batu Berangkai di sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 11 pagi itu, mayat, Luqman Hakim Ismail Shukri, 16, berjaya dibawa keluar dari kawasan lubuk oleh penduduk kampung yang membantu melakukan pencarian.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, mereka yang menaiki sebuah kereta bergerak dari Kampung Gajah ke air terjun berkenaan untuk berkelah dan mandi.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa merupakan orang pertama mandi dan berenang sementara tiga yang lain sedang mengangkat barang.

"Mangsa tiba-tiba tenggelam dan hilang di tengah air terjun. Bekas guru memanggil mangsa namun tiada jawapan, rakan lain juga cuba berenang tetapi gagal mendapatkannya.

"Mereka kemudian meminta bantuan penduduk kampung dan menghubungi talian 999. Tidak lama kemudian, mangsa berjaya dibawa keluar oleh penduduk kampung," katanya.

Mohamad Nazri berkata, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian telah memberi bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa gagal diselamatkan.

"Hasil pemeriksaan tidak menemukan sebarang unsur jenayah kekerasan. Semasa mangsa bersama rakan lain sampai di lokasi tidak terdapat individu lain di tempat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mayat dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa," katanya.

Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Jelasnya, air terjun berkenaan merupakan kawasan berisiko dengan kerap berlaku kematian.